Biarpun hanya belajar sampai darjah lima tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk menceburi bidang politik. 

Malah, Meri Liew Pong berani mengambil langkah ke depan untuk bertanding jawatan naib pengerusi wanita PKR Cabang Hulu Selangor dalam pemilihan parti.

Katanya, visi utamanya dalam menceburi dalam bidang politik adalah untuk memperjuangkan hak tanah Orang Asli.

"Saya bertanding dalam pemilihan parti kerana ingin memperjuangkan hak tanah Orang Asli. Contohnya, di kampung saya sangat padat. Tiap-tiap keluarga mempunyai dusun turun-temurun diwarisi nenek moyang.

"Kami menjaga kebun tersebut dipanggil sebagai tanah adat Orang Asli. Tapi, susahnya kami tanah itu tidak diiktiraf. Lebih, menyusahkan tanah kami bertindih dengan Jabatan Hutan.

"Kami tidak maju bukan kerana kami malas. Cuma kami  tidak ada hak untuk memajukan tanah yang diwarisi kerana ada kekangan pada tegahan pihak-pihak tertentu," katanya kepada Malaysiakini.

Meri, 36, tinggal di Kampung Orang Asli Gurney, Ulu Yam Baru, Batang Kali, Hulu Selangor. Dia berasal daripada suku Temuan.

Ibu anak dua anak itu berkata bahawa Orang Asli mempunyai pandangan berbeza dengan hutan.

"Bagi yang lain ia hutan. Bagi, kami ia adalah tanah dan harta yang ditinggalkan oleh nenek moyang kami mengikut generasi.

"Saya nak perjuangkan hak itu. Sebab saya mempunyai anak. Sekiranya saya susah sekarang anak saya akan lagi susah nanti.

"Saya tak nak itu. Sebab itu saya fikir, saya ada peluang saya cuba," katanya ketika ditanya keputusan untuk bertanding dalam pemilihan parti.

Sementara ditanya kenapa dia memilih PKR, Meri menjawab bahawa dia ingin perubahan.

"Sebab apa saya pilih PKR. Saya ingin berubah. Saya ingin cuba keluar. Pelbagai parti datang sebelum ini. Buat janji lepas itu hilang.

"Dulu Orang Asli memang pengundi deposit tetap kepada BN. Sekarang tidak lagi.

"Mungkin zaman ibu bapa saya. Mereka tidak fikir panjang. Mereka senang dipengaruhi, bila orang cakap dia dengar sahaja dan dia percaya.

"Saya juga pernah di dalam BN. Tapi, saya rasa tiada yang membantu saya dalam soal tanah ini," katanya.