Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib kemuka bukti bergambar kapal perang LCS memang wujud
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mengemukakan beberapa keping gambar bagi membuktikan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) benar-benar wujud dan bukan kapal halimunan seperti yang didakwa sesetengah pihak, khususnya pembangkang.

Menerusi hantaran di Facebook, katanya, projek itu sebenarnya telah dilewatkan, ditangguhkan dan dibekukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad selepas menumbangkan BN pada pilihan raya ke-14.

“Ya, memang wujud. Bukan ghaib.

“Pembinaan projek LCS bermula sejak Jan 2015 selepas kontrak ditanda tangan pada Julai 2014 tetapi pembinaan telah dilewatkan, ditangguhkan dan dibekukan kerajaan PH selepas PRU14,” katanya.

Dia seterusnya mjelampirkan gambar terkini kerja pembinaan kapal LCS 1, LCS 2, LCS 3, LCS 4, LCS 5 yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) susulan pendedahan laporan mereka, baru-baru ini.

“Betul ke kapal LCS tak ada langsung?

“Mereka kata kapal halimunan, kata overall progress 57 peratus tapi tak nampak," katanya sambil melampirkan emoji memakai kanta pembesar.

Selain Najib dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menjadi kecaman orang ramai susulan pendedahan PAC bahawa kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

Semalam ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempersoalkan bagaimana menteri pertahanan itu boleh mengalu-alukan ketibaan kapal yang tidak wujud ke dalam TLDM.

"Wow. Menteri pakai cermin mata apa?" soal Lim di Facebook.

Berkongsi tajuk berita itu adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang bertanya, "Hisham mana yang boleh kita percaya?"

Najib dalam hantarannya juga mencabar pemimpin pembangkang supaya memuatnaik gambar-gambar kemajuan projek Terowong Pulau Pinang serta jalan raya berkaitan.

“Saya ingin lihat ialah gambar-gambar kemajuan projek terowong Pulau Pinang serta jalan raya berkaitan yang kontraknya ditanda tangan pada tahun 2013 dan pembinaan dijadualkan bermula pada tahun 2014.

“Siapa dari PH dan DAP boleh tunjukkan? Minta post.

“Korang (kau orang) tak mahu buat siasatan PAC atas projek terowong ke?” sindirnya lagi.

Projek pembinaan Terowong Pulau Pinang menyaksikan Lim, berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteriuntuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Dia turut didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Projek LCS pula mencuri tumpuan apabila PAC mendedahkan bahawa kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

PAC antara lain mendapati Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan TLDM dalam perolehan kapal LCS.

Ini menyebabkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan pada 2011.

Lihat Komen
ADS