Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hikayat KJ: Menyorot kembali fasa politik Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin merupakan antara wajah paling dikenali dalam arena politik Malaysia. Mutakhir ini, dia dikenali sebagai individu yang lantang mengkritik korupsi dalam Umno, selain peranannya sebagai menteri kesihatan ketika wabak Covid-19.

Dalam tempoh ini, Khairy, anak seorang diplomat dan graduan Universiti Oxford, membentuk imej yang popular di media sosial sehingga menarik ramai penyokong, terutama dalam kalangan golongan muda.

Namun lelaki berusia 46 tahun ini bukan orang baru dalam politik. Dia telah menyertai pentas politik lebih dua dekad lalu. Sejak hari pertama, dia telah dilihat sebagai ahli politik bercita-cita tinggi dengan sasaran paling tinggi - menjadi perdana menteri.

Malaysiakini menyorot kembali kerjaya politik Khairy Jamaluddin.

'Budak tingkat empat'

Khairy mula dikenali ketika menjadi pegawai khas kepada Abdullah Ahmad Badawi, yang menjadi timbalan perdana menteri setelah Anwar Ibrahim dipecat pada 1999. Dua tahun kemudian, Khairy berkahwin dengan anak Abdullah iaitu Nori.

Abdullah kemudian menjadi perdana menteri pada 2003, menggantikan Dr Mahathir Mohamad. Namun ada pihak yang mendakwa kuasa sebenar dipegang menantunya itu.

Laporan pertama Malaysiakini yang menampilkan Khairy adalah pada 17 Januari 2001. Dalam laporan itu, namanya disebut sebagai sebahagian daripada pasukan Pemuda Umno yang membuat rundingan rahsia dengan Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Pertubuhan Cina Malaysia (Suqiu).

Ia bagi merangka satu kenyataan bersama berkenaan penarikan semula desakan pilihan raya Suqiu yang dianggap sensitif terhadap orang Melayu.

Bekas ahli parlimen Rembau ini kian menonjol sekitar 2003 dan dia kemudian menjadi timbalan ketua Pemuda Umno setahun kemudian - kedudukan yang dimenanginya tanpa bertanding.

Khairy letak jawatan sebagai pegawai Abdullah pada tahun sama namun kekal berpengaruh di koridor kuasa sebagai ketua kepada pasukan penasihat perdana menteri yang digelar sebagai "budak tingkat empat".

Mahathir, yang ketika itu hilang keyakinan kepada penggati pilihannya sendiri, antara tokoh yang menyifatkan Khairy sebagai "perdana menteri de facto". Abdullah menafikan perkara itu.


Baca: Khairy, Pak Lah dan 'budak' Tingkat Empat


Pada 2005, Khairy mengundang kontroversi apabila dia memberitahu International Herald Tribune bahawa selepas PRU 2004, Abdullah memutuskan untuk tidak "menggali" semula amalan rasuah lama.

Pada tahun itu juga, urus niaga Khairy dengan ECM Libra mula menjadi perhatian. Khairy menyertai firma pelaburan itu sebagai pengarah khidmat nasihat korporat setahun sebelumnya.

Pada akhir 2005, dia membeli 13 juta saham dengan harga RM9.2 juta untuk memperoleh tiga peratus pegangan dalam syarikat itu.

Pengkritik mempersoalkan bagaimana dia meraih dana untuk membeli saham itu. Dia kemudian menjelaskan yang dia membuat pinjaman daripada ECM Libra.

Tidak sampai sebulan kemudian, kerajaan mengumumkan rancangan untuk menggabungkan ECM Libra dengan sebuah GLC, Avenue Capital, yang membawa kepada penubuhan ECM Libra Avenue.

Khairy berdepan tekanan hebat berikutan penglibatannya dalam syarikat itu dan akhirnya menjual sahamnya pada Ogos 2006. Dia menanggung kerugian sebanyak RM200,000.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menjalankan siasatan terhadap penggabungan itu namun ia tertangguh setelah Nor Mohamed Yakcop, ketika itu menteri kewangan kedua, memberi keterangan. Siasatan kes itu tidak pernah diselesaikan.

Melayu ultra

Sementara itu, sebagai timbalan ketua Pemuda Umno, Khairy - yang dilihat sesetengah pihak sebagai seorang Melayu ultra - beberapa kali berselisih dengan MCA.

Misalnya pada Ogos 2006, dia memberi peringatan kepada ahli Umno bahawa masyarakat Cina akan mengeksploitasikan perbalahan dalaman Umno demi kepentingan mereka.

Ia mencetuskan pertelagahan selama dua bulan dengan MCA dan Gerakan. Isu itu memuncak dengan Khairy memberi penjelasan secara tertutup - tanpa permohonan maaf - kepada BN.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2007, Khairy membuat kenyataan berkias terhadap masyarakat India apabila dia merungut ucapan dasar Abdullah tidak dilaporkan di kebanyakan akhbar, dan edaran akhbar dikuasai oleh "satu kaum".

Kebanyakan akhbar arus perdana tidak diterbitkan selama satu hari sempena sambutan Deepavali, yang berlangsung pada hari sama dengan perhimpunan agung itu.

Dalam ucapan sama, dia turut menggesa pengenalan subsidi secara bersasar.

Sementara itu, dia turut menasihati pentadbiran Abdullah agar tidak bertemu dengan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf). Kegagalan kerajaan ketika itu dalam mendepani kebimbangan masyarakat India dianggap sebagai antara faktor utama prestasi buruk BN pada PRU 2008, yang akhirnya memaksa Abdullah untuk letak jawatan.

Sebagai ketua Pemuda

Walaupun BN hilang majoriti dua pertiga buat kali pertama sejak 1969 - ketika ia masih dikenali sebagai Perikatan - Khairy yang pertama kali bertanding menang di Rembau.

Dengan latar inilah, dengan perubahan dalam sentimen rakyat, Khairy "mencipta semula" dirinya. Dari imej Melayu ultra, dia memposisikan dirinya sebagai ahli politik yang lebih sederhana, liberal dan progresif.

Penjenamaan semula ini dipercayai telah membantunya untuk menang jawatan ketua Pemuda Umno, menewaskan Mukhriz Mahathir dan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo pada pemilihan parti pada 2008, walaupun ketika itu dia tidak lagi dibawah naungan Pak Lah.

Dia kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai seorang reformis, dan menjustifikasikan tindakannya yang cenderung kepada sentimen Melayu ultra sebelum itu sebagai cara melindungi kepimpinan Umno daripada terhimpit ketika "tempoh buruk" parti itu.

Dia malah menyertai askar wataniah sebagai sebahagian penjenamaan semulanya.

Dalam ucapannya ketika Perhimpunan Agung Umno 2009, dia menggesa parti untuk beralih dari konsep "dominasi Melayu" kepada "kepimpinan Melayu" dan menggesa hubungan dengan kaum lain ditambah baik.

Dia juga menyuarakan sokongan terhadap meritokrasi.


Baca: KJ berubah ikut tuntutan zaman


Tahun-tahun berikutnya, dia akan mengecam protes terhadap pemindahan sebuah kuil Hindu, di mana peserta protes berarak membawa kepala lembu. Dia juga mengecam tindakan membakar gereja ekoran pertikaian berhubung penggunaan kalimah Allah.

Dia juga mengetuai Pemuda BN untuk mengeluarkan kenyataan bersama dengan Pemuda Pakatan Rakyat untuk mengecam tindakan menyerang rumah ibadat, serta menggesa rakyat Malaysia untuk bersatu.

Beberapa lagi langkah yang diambilnya dalam penggal pertama sebagai ahli parlimen adalah menyokong kebebasan media, penyertaan mahasiswa dalam politik serta pendaftaran pengundi secara automatik.

Namun, ciri Melayu ultra dalam dirinya ada kala keluar, misalnya ketika dia bertembung dengan tokoh DAP, mendiang Karpal Singh di Dewan Rakyat.

Khairy juga mengetuai Pemuda Umno dalam beberapa protes berkaitan isu antarabansa di kedutaan.

Namun, barangkali protes yang paling diingati adalah himpunan baju merah Patriot yang dianjurkannya, sebagai respons kepada himpunan Bersih 2.

Ketika protes itu, yang diadakan pada hari sama dengan Bersih 2, Khairy mengetuai ahli Pemuda Umno bertembung dengan polis dan kemudiannya dihadapkan dengan gas pemedih mata dan meriam air. Dia ditahan namun tidak didakwa.

Menteri belia dan sukan

Pada PRU 2013, ketika Khairy mempertahankan kerusi Parlimen Rembau untuk penggal kedua, dia juga berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai ketua Pemuda Umno setahun kemudian.

Pada tahun itu, dia dilantik sebagai menteri belia dan sukan - jawatan kabinetnya yang petama. Sepanjang memegang jawatan itu sehingga 2018, dia dilihat memenuhi aspirasi pihak kiri dan kanan, berbanding kedudukan "tengahnya".

Antara yang menonjol adalah ketika perdana menteri ketika itu, Najib Razak melantikanya sebagai menteri bertanggungjawab untuk program Transformasi nasional 2050 (TN50) yang ingin melibatkan golongan muda dalam merangka perancangan untuk pembangunan negara di masa depan.

Satu lagi peristiwa termasuk apabila dia meminta agar ahli Pemuda Umno diberi jawatan penting dalam GLC serta mempertahankan keputusan Najib mengekalkan Akta Hasutan.

Ketika Mahkamah Persekutuan memenjarakan Anwar buat kali kedua, atas pertuduhan liwat, Khairy bersama-sama Shafee Abdullah menyertai jelajah anjuran Pemuda Umno untuk "menjelaskan" kes itu, di mana butiran sensasi berkenaannya, dibincangkan secara terbuka.

Ketika seorang pegawai kanan dalam Kementerian Belia dan Sukan dikaitkan dengan kes rasuah berjumlah RM100 juta, Khairy mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu namun berkata tidak akan letak jawatan.

Ketika skandal 1MDB, Khairy antara individu yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan syarikat itu untuk membayar hutangnya.

Namun, dia juga antara yang menafikan sebarang unsur rasuah ketika timbulan dakwaan dana 1MDB sebanyak AS$681 juta (sering menggunakan tukaran RM2.6 bilion) telah masuk ke akaun peribadi Najib.

Seperti menteri kabinet lain, dia juga mengangkat naratif wang itu merupakan derma keluarga diraja Arab Saudi.


Baca: Khairy: Tak apalah jadi balaci, macai bagi bersama Najib


Reformis Umno

Keadaan berubah begitu cepat apabila BN tewas dalam PRU 2018.

Ketika itu, Khairy berkata dia menyesal kerana tidak berterus-terang dengan Najib tentang penolakan akar umbi terhadap Umno. Dia kemudian mengakui skandal 1MDB adalah punca BN tewas dalam PRU tersebut.

Bagaimanapun, tersingkirnya Umno dari tampuk kuasa membuka peluang kepada Khairy untuk melonjakkan kerjaya politiknya, dengan bertanding untuk jawatan presiden Umno.

Ketika fasa ini, dia sekali lagi menggunakan imej reformisnya. Dia membangkitkan idea untuk menjadikan Umno sebagai parti pelbagai kaum serta membebaskan parti itu daripada cengkaman panglima politik, perkauman dan seksisme.

Namun, keputusan saat akhir yang dibuatnya untuk merebut jawatan tertinggi itu memakan dirinya.

Tengu Razaleigh Hamzah, yang turut mahu merebut jawatan itu, mendakwa Khairy antara individu yang memintanya untuk bertanding. Ketika pertemuan itu, veteran Umno itu mendakwa Khairy turut menolak prospek untuk bertanding.

Ahmad Zahid Hamidi akhirnya muncul sebagai pemenang.

Sejak itu, Khairy semakin jauh dari arus perdana Umno dan kemudian menjadi pengkritik lantang Zahid dan Najib.

Wira Covid-19

Di saat pengaruhnya dalam Umno semakin pudar, populariti Khairy di kalangan orang ramai pula meningkat, terutama selepas Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan Umno kembali ke Putrajaya.

Dia kembali ke kabinet dengan menjadi menteri sains, teknologi dan inovasi. Dengan kedudukan itu, dia menjadi wajah usaha vaksinasi Covid-19 negara.

Dia menonjol di saat menteri dan timbalan menteri lain dikritik kerana dilihat tidak cekap menangani wabak itu, atau melanggar langkah sekatan pihak berkuasa.

Malah pemimpin pembangkang pun mengangkatnya sebagai seorang pemimpin yang cekap.

Dia kemudian dilantik menjadi menteri kesihatan dan menggalas usaha negara menangani wabak Covid-19.

Satu-satunya kontroversi melibatkan dirinya dalam tempoh ini adalah isu kontrak aplikasi MySejahtera. Dia berkata kerajaan tiada pilihan lain selain terus menggunakan aplikasi tersebut.

Namun walau persepsi awam semakin baik, dia kekal terpinggir daripada barisan tertinggi Umno.

Ia membawa kepada perpindahannya dari kerusi selamat di Rembau ke kubu kuat PH di Sungai Buloh pada PRU15.

Khairy menjadikan gesaan untuk memperbaharui Umno sebagai kempen utamanya, dan jelas berkata dia ingin memimpin parti itu pada masa akan datang.

Namun dia tewas dan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan itu berakhir apabila dipecat dari Umno pada 27 Januari lalu.

Menyifatkan pemecatannya tidak mengikut proses yang betul, Khairy memutuskan untuk tidak merayu dan kini dihujani tawaran untuk menyertai pelbagai parti.

Bagaimanapun dia membayangkan akan menerima tawaran Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menjadi CEO JDT dan Penasihat Orang Muda Johor.

Di pentas politik, belum pasti sama ada dia boleh bangkit semula dari abu, sebagaimana haiwan mitos phoenix.

Baca: YB boleh melompat, begitu juga Malaysiakini

Lihat Komen
ADS