Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker: Pengimport telur tidak boleh saman Wee Ka Siong
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 8:58 AM
Dikemaskini: 12:58 AM

Syarikat yang mengimport telur tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong kerana wakil rakyat itu menikmati perlindungan undang-undang ketika berucap di Dewan, kata Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Dalam suratnya kepada Wee, Johari  berkata ahli Parlimen menikmati perlindungan itu menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan apabila bercakap di Dewan Rakyat atau kepada mana-mana jawatankuasanya.

Johari Abdul

"Apa-apa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen dalam mesyuarat majlis  parlimen adalah terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tiada prosiding undang-undang di mana-mana mahkamah boleh diambil terhadap ahli Parlimen berhubung apa-apa jua yang dikatakan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa majlis parlimen itu," tulis Johari dalam suratnya.

Wee berkongsi surat itu di laman Facebooknya semalam. Dia turut berterima kasih kepada Johari.

 “Terima kasih speaker yang menjawab surat saya dan mempertahankan hak ahli Parlimen bersuara di Dewan Rakyat. 

Saya akan terus mengangkat suara rakyat majmuk bukan saja warga Ayer Hitam, tetapi juga Johor dan Malaysia secara keseluruhannya,” kata Wee.

Johari telah menjawab surat Wee bertarikh 6 Mac, yang meminta nasihat speaker mengenai surat tuntutan yang diterimanya daripada J&E Tech Sdn Bhd.

Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam)

Pada 22 Feb, Wee memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan harus menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengeluar telur tempatan dan bukannya mengimport telur dari India, yang menurutnya lebih mahal dan lebih kecil.

Putrajaya beralih kepada pengimportan telur dari India sebagai langkah sementara untuk menangani kekurangan bekalan tempatan.

Lihat Komen
ADS