Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi ingatkan Puad - Jangan tolak pengundi PH daripada Umno

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengingatkan pemimpin Umno seperti ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi supaya mengelakkan diri daripada membuat ulasan yang akan menjauhkan penyokong PH.

Sambil mengingatkan bahawa Umno kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan dengan PH dan mereka juga akan bergantung kepada undi penyokong gabungan itu pada pilihan raya negeri akan datang.

“Satu-satunya perkara yang saya harap orang seperti Puad harus ingat ialah kita kini bersama dalam kerajaan perpaduan.

“Pilihan raya negeri akan datang termasuk di kubu kuat PH seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Umno memerlukan sebanyak undi PH seperti mereka memerlukan undi sendiri untuk memenangi kerusi di negeri-negeri ini.

“Sebaik-baiknya jangan kacau dan tolak pengundi PH. Sebab itu saya tidak berkata apa-apa tentang Umno kerana saya mahu fokus pada tugas saya dan rakan-rakannya (Umno) dalam kabinet memahami perkara ini sepenuhnya,” kata Rafizi.

Dia sebelum itu hadir pada majlis sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), di Shah Alam hari ini.

Timbalan presiden PKR itu menjawab soalan pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Puad semalam yang mendakwa dirinya tidak melakukan sebarang langkah signifikan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Atas sebab itu, Puad berkata, kini timbul spekulasi mengenai rombakan kabinet yang akan berlaku.

Rafizi memberi amaran sudah ada reaksi negatif daripada penyokong PH berhubung kenyataan seumpama itu daripada rakan-rakan mereka dalam Umno.

Menjawap sindiran Puad bahawa sebagai menteri “tidak boleh biasa-biasa” Rafizi berkata dia tidak merasakan keperluan untuk menjelaskan tindakannya kepada semua.

“Terdapat kekurangan komunikasi dan pemahaman antara apa yang saya katakan dan lakukan serta keputusan akhirnya.

“Saya telah membina rekod prestasi saya dengan memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan kerana saya faham tugas saya adalah untuk membetulkan struktur dan membina kekuatan dan kamu lihat iniakan datang kemudian.

“Begitu juga dengan ekonomi. Kita mempunyai banyak masalah struktur (untuk diselesaikan),” katanya.

Rafizi berkata dirinya mendapat pengiktirafan daripada komuniti pelaburan di luar negara kerana mereka memahami apa yang dia cuba lakukan sebagai menteri ekonomi.

Lihat Komen
ADS