Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ops Lalang: Kabinet belum bincang gesaan k'jaan mohon maaf - Fahmi

Kabinet setakat ini belum lagi membincangkan gesaan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus agar kerajaan memohon maaf secara terbuka kepada mangsa penahanan tanpa bicara dalam Operasi Lalang, 37 tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika memaklumkan demikian juga berkata dia tiada maklumat lanjut mengenai gesaan itu.

“Perkara ini belum dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri, mungkin kalau ditanya esok mungkin saya ada maklumat.

"Tapi setakat ini kabinet belum membincangkan,” kata Fahmi pada sidang media sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus.

Bagaimanapun, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan tidak menjawab ketika ditanya jika dia sendiri mahu membawa hal itu ke mesyuarat kabinet esok.

“Terpulang kepada perdana menteri sekiranya itu satu perkara yang beliau ingin bincangkan,’ katanya ringkas.

Hishamudin pada 17 April lalu menggesa kerajaan memohon maaf secara terbuka atas Operasi Lalang yang melibatkan penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Bekas hakim itu berkata operasi itu tidak akan berlaku jika Perlembagaan Persekutuan dihormati.

Hishamudin sering dikenang atas beberapa siri penghakimannya yang menyebelahi bekas tahanan ISA, termasuk menganugerahkan pampasan kewangan.

Untuk rekod, pihak polis melancarkan operasi pada November 1987 di bawah pemerintahan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, Umno berpecah kepada dua kem susulan persaingan merebut jawatan presiden parti antara Mahathir dan pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah.

Seramai 106 aktivis, wartawan dan ahli politik pembangkang ketika itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada 2017, Mahathir mengaku bertanggungjawab atas peristiwa itu tetapi tidak meminta maaf, menegaskan ia bukan keputusannya.

Mahathir juga berulangkali mengatakan Operasi Lalang dikendalikan pihak polis dan dia tidak ada kuasa untuk membantah perintah penahanan.

ISA undang-undang pencegahan yang digubal pada 1960 dengan tujuan untuk membendung anasir suversif pengganas komunis.

Menjelang sambutan Hari Malaysia pada malam 15 Sept 2011 perdana menteri ketika itu Najib Razak mengumumkan pemansuhan ISA menyifatkannya "undang-undang yang tidak lagi relevan."

Selain penahanan tanpa bicara di mahkamah, ISA sering dikritik atas dakwaan salah guna kuasa, pelanggaran hak asasi manusia, penyiksaan dan penafian hak seperti tidak dibenarkan akses kepada peguam serta ahli keluarga.

Berhubung permohonan maaf oleh kerajaan atas kesilapan masa lalunya, menteri undang-undang Mohd Nazri Aziz pada 2008 mengumumkan kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk bekas Ketua Hakim Tun Salleh Abbas yang dipecat ketika berlaku krisis kehakiman pada 1988.

Lihat Komen
ADS