PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan keperluan untuk menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata menterinya Saifuddin Nasution Ismail.
Dia memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa langkah itu akan mengelakkan mereka yang ditahan Sosma daripada menunggu terlalu lama serta menangani isu berkaitan jaminan.
Sebagai sebahagian daripada kajian semula Sosma, dia berkata sebuah jawatankuasa khas baharu akan dibentuk untuk memperhalusi cadangan yang diterima.
Hasil penemuan jawatankuasa itu untuk meminda Sosma kemudiannya akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang, tambahnya.
“Lagi cepat jawatankuasa ini menghasilkan dapatan, lagi cepat kita bentang,” katanya.
“Kita ada sesi Julai hadapan.
“Biar itu menjadi satu garis masa untuk menunjukkan bahawa kesediaan kita sentiasa terbuka dalam menambah baik dasar perundangan, peraturan serta usaha bagi memperkasa aspek keselamatan dan ketenteraman awam.”
