Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Albert mohon campur tangan Agong isu Azam Baki
Diterbitkan:  Apr 16, 2026 5:47 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Ahli perniagaan Albert Tei, yang terlibat dalam konflik dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sejak mendedahkan skandal perlombongan Sabah, kini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Memorandum itu menuntut tindakan terhadap Azam berhubung kontroversi pegangan sahamnya serta dakwaan bahawa SPRM bersubahat dengan ahli perniagaan tertentu bagi memudahkan pengambilalihan korporat.

Mendakwa kerajaan gagal menangani isu itu secara berkesan, Tei berkata “Kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai hak untuk tahu” apa yang sedang berlaku.

“Jadi kita tidak ada pilihan lain - kita tidak tahu mahu merayu kepada siapa lagi. Sebagai rakyat Malaysia, kita melihat istana dan Agong sebagai saluran terakhir untuk mengadu.

“Hanya Agong yang boleh menyelamatkan negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada seorang pegawai polis di luar pintu pagar istana (bawah).

Tei turut mempersoalkan mengapa polis tidak menyoal siasat mana-mana pegawai SPRM atau kakitangan kanan berkaitan siasatan mereka terhadap dakwaan ‘Mafia Korporat’.

Ini menimbulkan syak wasangka dalam kalangan orang awam, tambahnya, sambil menuduh pihak berkuasa mengamalkan sikap pilih kasih dalam siasatan.

Pada 1 April, Ketua Unit Siasatan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (Amla) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid berkata kenyataan dirakam daripada 41 individu - namun tiada seorang pun daripada SPRM.

SPRM menafikan sebarang penglibatan dalam dakwaan Mafia Korporat, yang pertama kali didedahkan oleh Bloomberg.

Tei, yang juga berdepan pertuduhan rasuah, menuduh pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim melindungi beberapa ahli politik Sabah yang dikaitkan oleh dia dalam skandal itu.

Perdana menteri pada November lalu menafikan dakwaan itu dan menegaskan siasatan masih berjalan. Bagaimanapun, tiada perkembangan baru sejak itu.

Azam Baki

Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Putrajaya belum dimaklumkan mengenai sebarang kemungkinan tindakan terhadap Azam berhubung isu pegangan saham.

Fahmi mengulangi bahawa kabinet memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, yang mempengerusikan jawatankuasa siasatan kes berkenaan.

Dalam kenyataan pada 31 Mac, Shamsul berkata prosiding berkaitan siasatan terhadap pemilikan saham Azam sudah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Katanya, ini susulan pembentangan hasil penemuan jawatankuasa itu pada mesyuarat kabinet pada 11 Mac.

Shamsul turut menafikan laporan Bloomberg yang mendakwa Anwar meminta jawatankuasa itu menangguhkan pendedahan hasil penemuan mereka mengenai pegangan saham Azam.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS