Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes fitnah terhadap Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu menerusi siaran langsung di platform TikTok.
Perintah reman hingga 15 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Hidayu Zakaria di Mahkamah Majistret di Tapah terhadap suspek yang tiba di mahkamah kira-kira 8.50 pagi tadi dengan diiringi anggota polis.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Abdul Malik Hasim sebelum ini memaklumkan suspek ditahan di kediamannya di Ipoh kira-kira 1 tengah hari semalam, susulan 11 laporan polis yang diterima berhubung kes berkenaan.
Lelaki itu sebelum ini tular menerusi satu sesi siaran langsung apabila mendakwa Tok Batin Mohd Asmmadi Abdullah telah "menyimpan" Jaslinda Saludin selama dua minggu, dan akan berkahwin dengan pendaki wanita itu jika perkara tersebut tidak tular.
Terdahulu, suspek dilaporkan telah membuat permohonan maaf secara terbuka melalui rakaman video susulan kontroversi membabitkan hantaran tersebut.
Sabtu lepas, Jaslinda, 49, ditemukan selamat oleh penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei ketika mendaki Gunung Batu Putih.
- Bernama
