Paling Popular
Terkini

"Jika perjelas, kamu kalah" - PH patut belajar frasa Amerika ini semasa mengendalikan kegagalan Tabung Haji.

Maksud Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 80-an Ronald Reagan itu, mempertahankan sesuatu dengan terlalu banyak butiran membuatkan kamu kelihatan mahu mempertahankan diri dan kalah dalam pertarungan untuk meyakinkan pengundi.

Sememangnya, menjelaskan laporan kewangan yang rumit mengenai Tabung Haji kepada orang kampung tidak akan pernah dapat menewaskan slogan mudah seperti “orang Melayu terancam oleh DAP”.

Sebab itulah “pakar hipnosis massa Melayu”, Abdul Hadi Awang, kerap mengulang "jampi" atau mentera ajaib itu. Ia menjadi.

Penawar kreatif untuk racun

Sudah tiba masanya PH berfikir di luar kotak. Kerajaan patut melepaskan kawalan ke atas Tabung Haji. Sebaliknya, swastakan pengurusannya kepada PAS dan Umno.

Ya, anda tidak salah dengar. Lemparkan cabaran itu kembali kepada yang digelarkan "penyelamat" bangsa dan agama. Biarkan mereka menjaga simpanan berharga petani, nelayan, guru, pesara, polis dan tentera Melayu.

Jika mereka berjaya meningkatkan aset dana tersebut, syabas! Pengurus itu juga patut mendapat bonus.

Namun, jika terdapat kerugian, kedua-dua parti Melayu itu mesti bertanggungjawab sepenuhnya, termasuk menjual aset parti. Biarkan PAS dan Umno membuktikan kata-kata mereka.

Atau biar mereka mengedarkan tin Milo untuk mengumpul sumbangan orang kampung bagi menyelamatkan Tabung Haji. Lihat jika mereka kekal popular selepas itu.

Ini dipanggil "tanggungjawab komuniti". Jika pengundi menyokong kedua-dua parti ini, maka secara logiknya mereka juga patut mempercayai mereka untuk menguruskan simpanan mereka, bukan?

Itulah maksud kepercayaan kepada "pembela Islam sejati".

Lagipun, tsunami Umno-PAS kelihatan sedia untuk mengambil alih Putrajaya, jadi mereka akan mengawal Tabung Haji jua. Jadi mengapa tidak berikan sahaja kepada mereka sekarang?

Dalam kempen presiden AS 1960, sebuah poster memfokuskan kepada sama ada Richard Nixon boleh dipercayai dengan bertanya kepada pengundi, "Adakah anda akan membeli kereta terpakai daripada lelaki ini?"

Sama juga, poster dengan "Mr DNAA 47" dan Hadi boleh bertanya kepada pengundi: Adakah anda percaya lelaki ini untuk mengendalikan simpanan Tabung Haji anda?

Menjerit slogan politik perkauman itu satu hal. Tetapi apabila wang peribadi orang ramai terlibat, berkemungkinan besar orang ramai akan bertindak balas dengan keraguan, kecurigaan, dan juga bantahan lantang bahawa wang hasil titik peluh mereka mungkin tidak lagi selamat.

Ini adalah cara yang mudah dan kreatif untuk melawan balik propaganda racun yang tidak kesampaian. Tidak perlu penjelasan panjang lebar mengenai helaian imbangan dan audit. Ingat - "Jika anda perjelas, anda kalah".

Bukan Islam bantu selamatkan

Masalah dengan sistem sedia ada ialah ramai pengundi tahu kerajaan akan sentiasa menggunakan wang pembayar cukai untuk menyelamatkan mereka. Seperti yang dinyatakan oleh anggota parlimen DAP Howard Lee di Parlimen baru-baru ini, "Keuntungan diswastakan, manakala kerugian disosialisasikan".

Ini termasuk menggunakan wang cukai daripada sumber tidak halal seperti perjudian, daging babi dan alkohol. Namun, kita tidak mahu institusi suci "terpalit" (tercemar), bukan?

Kini, tong sampah pun perlu halal. Jadi, sudah tiba masanya untuk memasukkan wang cukai daripada aktiviti "tidak bersih" ke dalam dana berasingan untuk bukan Islam.

Pada dasarnya, ahli politik Umno dalam Tabung Haji campur tangan dalam keputusan kewangan utama, menurut laporan suruhanjaya siasatan diraja.

Ini termasuk tokoh kanan Umno seperti bekas anggota majlis tertinggi Abdul Azeez Abdul Rahim dan Rosni Sohar, serta pengerusi tetap parti Badruddin Amiruldin.

Dua hari lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dilapor mendedahkan rekod memalukan, iaitu 14 pelaburan mengakibatkan kerugian hampir RM13 bilion.

Salah satunya ialah Al-Raudhah, yang RM1.55 bilion dibayar terdahulu untuk menyewa empat hotel di Arab Saudi bagi jemaah haji. Bagaimanapun, orang tengah gagal membayar pulangan sewaan.

Tiada jaminan bank, hanya "janji peribadi" untuk membayar sewaan. Dalam kata lain, Tabung Haji ditipu, atau lebih tepat "disaudikan" di tanah suci.

Satu lagi bencana ialah True Rich Resources. dTabung Haji membayar RM364 juta untuk 200,000 hektar ladang kelapa sawit berpusat di Kalimantan.

Bagaimanapun, Tabung Haji hanya mendapat 4,880 hektar atau kurang daripada 2.5 peratus daripada "tanah yang dijanjikan"! Laporan kesesuaian tanah dimanipulasi supaya bukan Tabung Haji tetapi orang lain yang menjadi "True Rich".

Kesilapan Mahathir, Guan Eng

Tetapi sekali lagi, semua ini bermakna PH sedang "menjelaskan" skandal itu, dan dengan itu "kalah". Semua nombor ini tidak dapat menembus tengkorak, atau kopiah, pengundi yang tegar.

Mengecewakan, ramai pengundi yang kurang berpendidikan tidak boleh, atau tidak mahu, memahami hal ehwal kewangan, terutamanya apabila "pihak mereka" yang bersalah. Orang ramai mempercayai prasangka mereka, bukannya fakta.

Saya percaya Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng membuat kesilapan pada 2018 apabila tergesa-gesa menyelamatkan Tabung Haji.

Mahathir (tengah) dan Guan Eng (kanan)

Mereka adalah perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu bagi kerajaan PH yang baru dibentuk.

Meerka percaya pada konsep "buat baik" - menggunakan RM20 bilion wang pembayar cukai untuk menyelamatkan aset Tabung Haji yang bermasalah.

Tetapi adakah orang Melayu mengucapkan terima kasih? Tidak. Sebaliknya, pemimpin perkauman memutarbalikkan cerita bahawa Lim "merampas aset umat Islam".

Hakikatnya ialah aset bermasalah itu diletakkan bawah badan khas dipanggil Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) - bawah Kementerian Kewangan, bukan bawah Lim atau tauke Cina.

Tetapi fakta membosankan sedemikian tidak boleh bersaing dengan "fitnah" yang merangsang dan sensasi, walaupun ia adalah "dosa besar" dalam Islam.

Fitnah mengenai lelaki Cina merampas wang umat Islam ini begitu "mujarab" sehingga ia masih digunakan lapan tahun kemudian dalam dua pilihan raya negeri baru-baru ini, kata anggota parlimen Jelutong RSN Rayer di Parlimen.

Jadi, bukannya tergesa-gesa menyelamatkan Tabung Haji, Mahathir dan Lim sepatutnya menunggu satu tahun atau lebih untuk membiarkan kesan penuh, keseriusan (dan ya, kesakitan) kejatuhan itu dihayati oleh pengundi.

Baru selepas itu mereka akan bertanya, mengapa? Apa yang berlaku?

Ini bukan isu perkauman; ini cuma sifat manusia. Orang cenderung tidak bertanyakan soalan apabila perut mereka kenyang dengan nasi lemak dan teh tarik sedap. Mereka hanya mencari jawapan apabila lapar.

Dan kemudian Mahathir boleh menjelaskan, "Nah, anda lihat pemimpin Umno bertindak begitu rendah sehingga 'sakau' wang jemaah haji. Kami cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Tabung Haji tetapi kami mungkin perlu menggunakan dana zakat. Sudah tiba masanya untuk membina tanggungjawab bersama umat Islam."

Mahathir mempunyai wibawa moral ketika itu untuk melaksanakan ini. Ia tidak perlu benar-benar berlaku, tetapi ia akan menjadi ujian yang hebat.

Perdebatan akan beralih kepada rasuah Umno memandangkan isu 1MDB sedang hangat ketika itu.

Itu juga akan menjadi pengajaran besar kepada pengundi, berbanding menyalahkan pemimpin DAP walaupun selepas dia menyelamatkan Tabung Haji.

Itu akan menjadi jauh lebih berkesan daripada sesi penerangan parlimen yang "membosankan" membabitkan penjelasan data. Lagipun, haram untuk orang Melayu bermain dengan nombor.

Kesimpulannya, kita mesti berhenti menggunakan wang pembayar cukai untuk mensubsidi penyelewengan - berulang kali.

Tetapi orang ramai hanya akan sedar apabila wang mereka terjejas secara peribadi - dan sebab itulah membiarkan PAS dan Umno mengambil alih Tabung Haji akan membuatkan mereka berfikir lebih mendalam.

Ia sama seperti ibu bapa mengajar pengajaran hidup kepada anak-anak - mereka tidak akan pernah matang dan belajar bertanggungjawab jika ada seseorang yang sentiasa menyelamatkan mereka.

Ia hanya memudaratkan anak-anak dalam jangka panjang.


ANDREW SIA ialah wartawan veteran yang menyukai teh tarik kaw kurang manis. Anda dialu-alukan untuk memberinya idea untuk dibancuh di [email protected].

Tulisan ini diterjemah dan disunting dari versi asal dalam bahasa Inggeris dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS