Sorotan 2015: Doping, aurat, kewibawaan FAM
Sepanjang tahun 2015, arena sukan dihiasi dengan warna-warni tersendiri.
Bukan sekadar kenangan tentang kejuaraan, malah isu-isu panas turut menjadi sebahagian catatan sejarah buat penggiat dan peminat sukan.
FAM berdepan 'krisis' kewibawaan
Bagai buku bertemu ruas , FAM kini berdepan dengan seorang pengkritik yang sering berterus terang, Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Antara isu yang disentuh beliau ialah kes rasuah yang didakwa masih berleluasa termasuk sindiket mengatur perlawanan, hak penyiaran dan kejurulatihan.
Penyokong fanatik Harimau Malaya juga kali ini menunjukkan aksi agresif sebagai tanda protes dengan merusuh ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia berlangsung hingga perlawanan terpaksa dibatalkan.
Berdepan kekalahan demi kekalahan pasukan kebangsaan, Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri berkata akan mempertimbangkan berundur diri.
Doping cemari reputasi negara
Tahun 2015 menjadi kenangan pahit buat jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei dan atlet bina badan Sazali Samad yang gagal ujian doping.
Chong Wei - bekas pemain nombor satu dunia itu - digantung lapan bulan, menyebabkan ranking beliau jatuh ke tangga 16 selepas hampir empat tahun bertahan sebagai pemain nombor satu dunia.
Sazali pula digantung empat tahun bermula 22 September lepas.
Farah Ann dan aurat atlet
Isu pemakaian di kalangan atlet menjadi isu hangat selepas ahli gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dikecam hebat walaupun berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Singapura 2015.
Isu aurat itu mengundang perbahasan hangat dan panjang melibatkan pelbagai pihak – bermula dari komen-komen di media kepada perbahasan parlimen .
Kebangkitan bakat muda
Di sebalik kekecewaan peminat bola sepak tempatan terhadap pasukan kebangsaan, masih ada penawar yang disuntik oleh skuad bola sepak bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di peringkat antarabangsa.
Membawa nama Malaysia ke Sepanyol, anak buah Lim Teong Kim muncul juara pada kejohanan Ibercup Costa Del Sol 2015 di Sepanyol dengan bergaya selepas menundukkan kelab terkemuka Portugal, Sporting Lisbon, Jun lalu.
Selain itu, bintang muda badminton negara, Goh Jin Wei mencatat sejarah menjadi pemain perseorangan wanita pertama Malaysia muncul juara di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Lima, Peru 16 November lalu.
Harimau Malaya jadi belasahan
Pasukan bola sepak kebangsaan mencatat kekalahan memalukan apabila menjadi pasukan belasahan di peringkat antarabangsa.
Harimau Malaya kecundang 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Pada kejohanan sama, pasukan negara turut tewas dua kali kepada Palestin dengan agregat jaringan 0-12, sehingga memaksa jurulatih Dollah Salleh meletak jawatan.
Prestij sambutan sukan negara
Kementerian Belia dan Sukan buat julung kalinya memperkenalkan Hari Sukan Negara (HSK) pada 10 Oktober yang disambut serentak di seluruh negara.
HSK yang dijadikan acara tahunan itu membabitkan penyertaan lebih 17,000 acara dengan lebih empat juta penyertaan di seluruh negara pada penganjuran pertama itu.
Pelbagai pihak turut mengadakan acara sampingan termasuk acara Garmin MP Step Challenge yang disertai 46 anggota parlimen kerajaan dan pembangkang.
JDT bawa prestij bola sepak negara
Selain kejayaan di arena tempatan, pasukan JDT berjaya melakar sejarah buat negara apabila menjulang Piala AFC 2015. Kejayaan itu sekali gus menjadikan JDT sebagai pasukan pertama di Malaysia meraih gelaran di peringkat Asia itu.
Di kejohanan tempatan, skaud Harimau Selatan itu muncul sebagai juara Liga Super 2015 buat kali kedua berturut-turut walaupun gagal merebut slot perlawanan akhir Piala Malaysia.
Presiden Fifa digantung 8 tahun
Presiden Fifa Sepp Blatter dan naib presidennya Michel Platini digantung lapan tahun selepas terpalit dengan skandal rasuah membabitkan AS$2 juta (RM8.6 juta).
Fifa berkata kes transaksi bayaran oleh Blatter pada 2011 daripada badan itu kepada Platini, tidak mempunyai asas undang-undang dalam perjanjian bertulis yang ditandatangani mereka.
Susulan hukuman tersebut, karier Blatter bakal berpenghujung dan nasib Platini untuk bertanding jawatan presiden badan induk bola sepak dunia Februari depan juga terhalang.
Tindakan keras itu yang pertama melanda badan induk bola sepak dunia itu. Blatter sendiri sudah belasan tahun berada di kerusi itu.

