Malaya atau Malaysia tak penting
Pertukaran nama gelaran skuad bola sepak kebangsaan dianggap bukan isu terlalu penting buat pemain kebangsaan Wan Zack Haikal Wan Nor.
Sama ada Harimau Malaya atau Harimau Malaysia katanya, semua pihak tidak perlu menjadikan ia masalah yang sangat besar serta diperdebatkan .
Sebaliknya kata pemain sayap untuk pasukan Kelantan itu, apa yang perlu diberikan tumpuan adalah corak permainan pasukan kebangsaan sendiri.
"Pada saya, nama (gelaran) tak jadi masalah yang penting ialah cara permainan yang ditonjolkan pasukan kebangsaan.
"Tak jadi isu pun, (Harimau) Malaysia atau (Harimau) Malaya kerana yang penting corak permainan," katanya ketika sidang media di program bersama pemain bola sepak anjuran Power Best di Subang Jaya, semalam.
Wan Zack berkata 2016 menjadi tahun yang mencabar serta penting untuk skuad kebangsaan kerana banyak misi yang harus dilunaskan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu.
Perbaiki kedudukan negara
"Insya-Allah memang banyak misi bagi skuad kebangsaan (namun) yang penting perlu ada semangat untuk mempamer aksi terhebat.
"Kita (Harimau Malaysia) perlu lebih berusaha keras untuk memperbaiki ranking dan menutup semua kritikan terhadap pasukan," katanya.
Malaysiakini Selasa lalu melaporkan FAM membuat keputusan untuk menukar gelaran tradisi tersebut dengan alasan tidak sesuai diguna pakai kerana perkataan Malaya itu sendiri tidak mewakili tanah air dan meminggirkan Sabah dan Sarawak.
Sementara itu mengulas pelantikan Kim Swee, Wan Zack menyambut baik keputusan FAM memilihnya sebagai ketua jurulatih pasukan negara.
"Kim Swee seorang yang berpengalaman dan sudah arif dengan pemain Malaysia kerana sebelum ini beliau membimbing Harimau Muda.
"Kami menyambut baik kehadiran beliau dan harap akan memberi kejutan buat negara dalam perlawanan-perlawanan akan datang," katanya.
Terdahulu, Kim Swee yang mengantikan posisi Dollah Salleh diberi kepercayaan untuk memperbaiki kedudukan Harimau Malaysia ke ranking 140 berbanding sekarang kedudukan ke-171 dunia.

