Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rasa tak sedap hati, rupanya Aiman 'ditikam' rakan sendiri

Hilang wang sehingga ribuan ringgit - selepas tidak perasan tiga kali kad mesin pengeluaran automatik (ATM) dicuri dari dompetnya - membuatkan Aiman Tino serik untuk mudah memberi kepercayaan pada orang lain, termasuk rakan karib.

Kata Aiman, kejadian buruk yang berlaku tahun ini banyak meninggalkan pengalaman pahit kerana dia tidak menyangka akan 'ditikam di belakang' selepas menabur budi untuk seseorang yang bergelar kawan.

“Pada awal, saya yang tawarkan dia untuk duduk serumah. Jika ada apa-apa yang boleh saya beri atau bayarkan, saya beritahu dia, saya akan tanggung.

“Kebetulan pula, saya jenis tak suka tinggal bersendirian di rumah," katanya.

Menurut penyanyi Kurela Dibenci itu, akibat dikhianati rakan sendiri, dia tidak lagi bersikap seperti sebelum ini. Sekurang-kurangnya dia tidak akan mudah memberi kepercayaan kepada sesiapa.

“Saya takkan percaya seseorang dengan mudah sebab akhirnya orang tu sanggup tikam belakang,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohammad Aiman Yusri itu ditemui pada pelancaran lagu Benci dan album Anugerah Terbaik di Shah Alam semalam.

Semasa mengisi minyak kereta

Menceritakan pengalaman pahit itu, Aiman, 21, berkata pada awalnya memang dia tidak menyedari kad ATM miliknya sudah beberapa kali diambil tanpa izin.

Pada mula-mulanya, kata Aiman, dia memang tak perasan rakannya itu mengambil kad ATM berkenaan kerana selepas membuat pengeluaran ia diletak semula dalam dompet.

"Namun, satu hari baru saya sedar kad ATM tiada dalam dompet.

“Selepas memeriksa transaksi bank, saya dapati wang bernilai ribuan ringgit juga dikeluarkan," katanya.

Menurut Aiman lagi, sebelum itu pun sudah banyak kali timbul perasaan tidak sedap hati dialaminya.

Ditanya bagaimana rakannya itu boleh mengeluarkan wang menggunakan kad ATM, Aiman berkata, dia mengesyaki nombor pengelaman peribadi (PIN) itu terdedah semasa dia mengisi minyak kereta.

Ditanya sama ada dia menyimpan dendam terhadap rakannya itu, Aiman bagaimanapun berkata, dia enggan memanjangkan isu berkenaan.

Katanya, rakannya itu sudah pun membayar semula wang yang dicuri daripadanya sebelum ini.


Baca Aiman tak rela isu video lucah dipanjangkan


Detik hitam itu juga diabadikan Aiman dalam lagunya Benci selepas kali terakhir menerbitkan lagu Terlerai Sebuah Janji pada tahun lalu.

Katanya, segala perasaan yang terbuku mengenai kejadian itu diluahkannya dalam Benci.

“Macam mana saya rasa, semua diluahkan waktu rakam lagu. Lagu ni berkisahkan dendam.

"Ia juga boleh dikaitkan dalam apa saja situasi sama ada tikam belakang atau cinta dikhianati.

“Saya harap peminat dapat menerima lagu ni selepas hampir setahun saya menyepikan diri,” katanya.

Lihat Komen
ADS