dikemaskini Kerajaan Selangor merancang berbincang dengan menteri dalam negeri berhubung pembebasan wakil rakyatnya M Manoharan daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Surat kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk tujuan itu akan dihantar hari ini, kata exco kanan Selangor, Teresa Kok.
"Kita telah menulis surat kepada Datuk Seri Hishammuddin untuk minta berjumpa dengan beliau.
"Saya berharap beliau sudi berjumpa bersama dengan wakil rakyat Pakatan di Selangor bersama-sama dengan isteri Manoharan (S Pushpaneela).
"Ia (pertemuan) penting bagi membincang dan mempertimbangkan untuk membebaskan Manoharan daripada ISA," katanya di sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Ditanya mengenai tarikh kemungkinan dapat berjumpa dengan menteri berkenaan, Teresa berkata pihaknya "bersedia bila-bila masa".
Manoharan, ADUN Kota Alam Shah, baru-baru ini menimbang untuk melepaskan jawatannya itu dengan alasan gagal berkhidmat kepada pengundi kawasannya.
Beliau antara tiga lagi pemimpin atasan Hindraf yang masih meringkuk di kem Kamunting, Perak sejak Disember 2007. Dua daripada mereka dibebaskan dengan syarat awal bulan lalu.
Teresa, ADUN DAP bagi Kinrara, semalam melancarkan kempen tandatangan bagi membebaskan penasihat undang-undang Hindraf itu yang bertanding atas tiket parti itu pada pilihanraya umum lalu.
Kempen itu selama dua minggu dan berakhir pada 17 Mei ini.
Bercakap di sidang media sama selepas mesyuarat ahli majlis kerajaan negei, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan pertemuan dan kempen tersebut sebagai lanjutan usul memansuhkan ISA yang diluluskan oleh persidangan pertama DUN tersebut tahun lalu.
"Kerajaan Selangor, dalam sidang DUN pertama, pada 2008, kita telah membuat usul untuk memansuhkan ISA dan mahukan supaya kerajaan melepaskan Manoharan daripada ISA dan menjalankan tugas beliau sebagai ADUN.
"Oleh sebab itu, kempen daripada ADUN dan ahli parlimen Pakatan Rakyat di Selangor adalah sambungan kepada usaha tersebut," katanya.
"Manoharan adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan diberi tugas untuk berbakti (kepada rakyat)".
Sebelum sidang media tersebut, Abdul Khalid menyerahkan saguhati kepada 26 pemain Selangor yang memenangi Piala FA menentang Kelantan pada 25 Mac lalu.
Saguhati hampir RM470,000 juga diberikan kepada pengurus dan jurulatih pasukan tersebut yang dikenali 'Red Giant' atas kejayaan tersebut.
