Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
H1N1: Tiada larangan siswa sertai sambutan merdeka

Kementerian Pengajian Tinggi tidak merancang untuk melarang pelajar universiti daripada menyertai sambutan hari Kemerdekaan hujung bulan ini ekoran penularan influenza A (H1N1) di kampus.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penglibatan pelajar untuk menjayakan sambutan tersebut, setakat ini berjalan seperti yang dirancang.

NONE "Setakat ini tak ada (larangan). Semua berjalan seperti biasa. "Kita bersama dengan semua kementerian.

"Kita selaras dengan Kementerian Kesihatan. Kita akan dapatkan pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan tentang tindakan yang boleh dan perlu dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pengumuman Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pemegang teknologi baru oleh Malaysian Biotechnology Corporation di ibunegara hari ini.

Mohamad Khaled yang juga ahli Parlimen Pasir Gudang diminta mengulas langkah yang diambil kementeriannya dalam usaha untuk membendung penularan H1N1 di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Penularan wabak tersebut di Malaysia sehingga ini telah meragut 14 nyawa, termasuk korban terbaru seorang lelaki 57 tahun.

Tingkat kesedaran pelajar

Ditanya kemungkinan kementeriannya bercadang menutup univerisiti secara serentak bagi membendung penularan wabak tersebut, Mohamad Khaled berkata:

"Penyakit dekat universiti itu, universiti itulah. Tak bolehlah nak buat serentak. Orang lain sakit, orang lain dapat cuti. Tak bolehlah."

Bagaimanapun Mohamad Khaled menasihatkan para pelajar supaya meningkatkan kesedaran dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri bagi membendung wabak tersebut.

Beliau berkata, kementeriannya tidak bercadang mengikut jejak langkah Kementerian Pelajaran untuk menyukat suhu badan pelajar untuk mengelak penularan wabak tersebut.

"Tidak, kita tidak buat begitu. Setiap universiti memang ada pusat kesihatan," katanya sambil berharap pelajar yang dijangkiti penyakit atau ada tanda-tandannya supaya mendapat rawatan segera.

Sebarang keputusan untuk menutup universiti, katanya, akan dibuat berasaskan perbincangan dan arahan dari Kementerian Kesihatan.

ADS