Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abd Rauf Yusof untuk memberi taklimat dan penjelasan kepada Umno bahagian Bukit Mertajam berhubung cadangan pindaan perlembagaan Umno.

"Bahagian itu pun, bila mereka kata tidak setuju, kerana taklimat tidak diberikan (mengenai pindaan tersebut). Saya percaya, kalau setelah kita turun, (dan) diberikan taklimat (mereka akan faham).

"Saya dah minta, setiausaha kerja Umno Datuk Abd Rauf untuk memberikan taklimat kepada (ketua bahagian Bukit Mertajam) Datuk Musa (Sheikh Fadzir), Insya-Allah ia tidak akan menjadi isu lagi," kata Hishammuddin selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk pindaan perlembagaan Umno di ibunegara semalam.

Dalam sidang media itu juga, beliau yang juga menteri dalam negeri, menjelaskan hanya bahagian Bukit Mertajam sahaja yang menolak cadangan pindaan perlembagaan tersebut.

Kelmarin, Musa dilaporkan berkata pindaan perlembagaan Umno dibuat sekadar "melepaskan batuk di tangga" walaupun ahli-ahli parti itu tidak memahaminya.

Katanya cadangan pindaan tersebut memerlukan masa yang panjang untuk dibincang di peringkat bahagian sebelum diluluskan dan bukan dalam masa dua atau tiga hari sahaja.

Ekoran itu, bahagian tersebut - dalam mesyuarat perwakilannya baru-baru ini - meluluskan usul menolak sebulat suara cadangan pindaan perlembagaan parti dalam perhimpunan agungnya bulan depan.

Antara cadangan pindaan tersebut ialah penghapusan sistem kuota pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan Umno dijalankan secara langsung di peringkat bahagian untuk menangani gejala politik wang dalam Umno.

Ditanya bilakah taklimat dan perjelasan itu akan diberikan kepada bahagian tersebut, Hishammuddin berkata: "Itu kena tanya Datuk Abd Rauf."

Hishammuddin memandang ke arah Abdul Rauf yang duduk disebelah kiranya, disambut dengan gelak ketawa hadirin.

"Tidak mengapa, wakil daripada Pulau Pinang pun ada. Jadi apa yang kita buat pada hari ini (semalam) akan memudahkan proses penerangan tadi," tambah Hishammuddin.

-