Ketua Pemuda Tenggara, Abdul Halim Abdul Jalil mahu kemenangan Umno dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang minggu lalu dijadikan gelombang untuk terus bangkit dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Kemenangan di Bagan Pinang memberi suntikan kepada Pemuda dan membuang badi selepas kalah dalam beberapa pilihanraya sebelum ini," katanya

Menurut Abdul Halim, beliau yakin dan percaya, sekiranya Pemuda bersatu suara, maka mereka mampu untuk menangkis isu-isu yang dikemukakan oleh pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Beliau menegaskan demikian sewaktu membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di perhimpunan Pemuda Umno di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini.

Berbahas mengenai usaha meperkasakan parti, beliau berharap kepimpinan Pemuda dan pucuk pimpinan parti, sentiasa melayan dan mendengar suara akar umbi.

"Saya minta ketua pemuda dan naib ketua Pemuda sampaikan mesej ini kepada Datuk Seri Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak), bahawa kita tidak ada masa. Apa yang ada keluarkan segera.

"Takut kita tidak merasa, kalau tak sempat merasa, kita kempunan. Selepas itu tak tahu apa akan jadi," katanya.

Pindaan perlembagaan

"Bagi barang, buat betul-betul, exco perlu layan mereka dan pengundi muda akan terus menyokong Umno. Barang tak bagi, tak dapat apa," katanya.

Berhubung pindaan perlembagaan parti, Abdul Halim berkata ia boleh dipinda tetapi perlu disuntik dengan semangat datuk nenek yang menubuhkan Umno suatu ketika dahulu.

Katanya, walaupun golongan itu tidak mempunyai kereta mewah, tetapi mereka mampu menyuburkan perjuangan Umno.

"Walau apa pun bentuk pindaan perlembagaan, Pemuda Umno Johor menyokong cadangan tersebut, tetapi ditegaskan kepimpinan harus kembalikan roh sebenar Umno," katanya.

Manakala perwakilan Sabah, Mohd Joh Wid pula berkata, senario politik di negeri tersebut berada dalam keadaaan "tenang tetapi rancak".

‘Simpanan tetap BN'

Beliau yang juga ketua Pemuda Keningau berkata, jentera pilihan raya di negeri itu berada dalam keadaan bersiap sedia, untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang perancangan parti.

"Jolokan presiden parti, (Sabah sebagai) Simpanan tetap BN, membuatkan kami lebih teruja untuk terus berkhidmat yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Mengenai salah satu daripada lima rukun Pemuda, iaitu Bersatu, beliau berkata terdapat pelbagai tafsiran yang berbeza di kalangan perwakilan Pemuda.

"Kita tahu maknanya apabila ia berpihak kepada kita. Dan kita menolaknya apabila ia tidak berpihak kepada kita.

"Bagaimana kita nak melaksanakan rukun Pemuda yang lain, sebab kita bercanggah tentang ‘bersatu'," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kembali semula kepada institusi Pemuda iaitu "Satu Institusi Satu Ketua" untuk menjadikan Pemuda terus bersatu sebagai sebuah institusi.