KPP: PAS diminta kotakan janji

       

Kelab Penyokong PAS (KPP) mahu kepemimpinan PAS mengotakan janjinya dengan menyegerakan langkah menaikkan taraf kelab itu sebagai sayap parti itu.

Pengerusi KPP pusat, Hu Pang Chow berkata beliau mendengar banyak rungutan dan kebimbangan di kalangan penyokong Cina ekoran kelewatan PAS merealisasikan hasrat tersebut.

"Saya mendapat maklum balas bahawa ia masih lagi di peringkat kajian. Kenapa lambat sangat.

"Umno (bergerak) cepat dengan konsep 1Malaysia. PAS dengan konsep PAS untuk Semua, kita kena cepat. Masa tidak menunggu kita," kata Hu ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebagai contoh, katanya, untuk memasarkan produk baru, seseorang peniaga tidak boleh menunggu selepas enam bulan untuk berbuat demikian.

"Apabila pasaran telah dipenuhi dengan produk yang sama, dengan kuantiti yang banyak dan berkualiti, sedangkan kita tunggu enam bulan, nanti produk tak laku.

"Semua orang merungut dan tertanya-tanya, sebab apa lambat (proses menaik taraf kelab), Kita mempunyai saingan iaitu dengan konsep 1Malaysia.

PAS komited

"Kenapa melengah-lengahkan, nanti produk tak laku," katanya lagi.

Hu diminta mengulas mengenai perkembangan terkini status KPP yang diura-urakan dinaiktaraf menjadi sayap parti.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dilaporkan berkata, jawatankuasa pusat PAS komited untuk menaikkan taraf KPP sebagai sayap parti bertaraf dewan walaupun ada pandangan yang tidak bersetuju dengannya.

Menurut Nasrudin lagi, kepimpinan pusat masih menunggu draf cadangan daripada jawatankuasa teknikal untuk menjadikan KPP menjadi sebuah dewan.

Menurut Hu lagi, kali terakhir beliau mendengar berhubung status kelab tersebut ialah Ogos lalu, yang masih dalam peringkat kajian.

Konsep 1Malaysia

Beliau bimbang kelewatan tersebut akan membolehkan Umno - dengan konsep 1Malaysia - berjaya memenangi hati rakyat berketurunan Cina untuk menyokongnya dalam pilihan raya akan datang.

"Dalam perhimpunan agung Umno, mereka telah mempromsosikan 1Malaysia. Slogan itu berjaya menarik golongan bukan Melayu, terutama kaum Cina.

"Mereka tak sebut mengenai perkauman, tetapi lebih (tertumpu) kepada konsep 1Malaysia yang menekan keadilan kepada semua rakyat.

"Saya bimbang dengan kepimpinan PAS (masih) melengah-lengahkan menaik taraf kelab tersebut. PAS kena selesaikan tahun ini, sebab kita perlukan masa untuk meyakinkan orang dengan produk baru, iaitu sebagai satu dewan," katanya.

Hu menambah, kelab tersebut ditubuhkan sejak tahun 2004 dan diusulkan untuk dinaik taraf menjadi sayap pada muktamar PAS pada 2007.

Malaysiakini
terkini untuk anda