Pemuda Umno akan menghantar delegasinya ke Buenos Aires untuk membawa pulang seorang rakyat Malaysia yang terkandas lima bulan di Argentina, dipercayai akibat diperdaya oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Pergerakan itu dijadual bertolak ke negara itu pada 13 Disember ini untuk membawa pulang P Jeyakumar, 37, yang terkandas di negara itu sejak 20 Jun lalu.
Bagaimanapun, Pemuda Umno belum memutuskan secara perinci delegasi dan masa untuk bertolak dari Kuala Lumpur, kata pegawai Biro Aduan Komuniti pergerakan itu Ramlie Rahman kepada Malaysiakini petang ini.
Jeyakumar yang berasal dari Johor Bahru dilaporkan ditinggalkan di lapangan terbang Buenos Aires sebelum diselamatkan kakitangan kedutaan Malaysia.
Lelaki itu dilaporkan tiba di kota itu dari Eropah dalam perjalanan ke Sao Paulo, Brazil. Pihak yang mengatur perjalanannya hanya memberikan tiket sehala ke Brazil.
Ketika dihubungi, Ramlie berkata Jeyakumar kini berada dalam jagaan kedutaan Malaysia tetapi berasa "tidak selesa" dan "mahu pulang ke Malaysia".
Semua kos untuk membawa pulang lelaki itu ditanggung oleh biro berkenaan, tambahnya.
