Tiada p'raya semula di UPM

       

Jawatankuasa pemilihan bagi pilihan raya kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) memutuskan tidak perlu diadakan semula pilihan raya ekoran pembatalan kemenangan tujuh calon umum kelmarin.

Sebaliknya, kekosongan tempat itu secara automatik akan digantikan dengan tujuh calon  lain yang mendapat kutipan undi tertinggi.

"Jawatankuasa itu memutuskan, keputusan membatalkan kemenangan mereka (7 calon pro-M) adalah kekal.

"Keputusan tersebut  berkuatkuasa pada jam 11 pagi hari ini," kata sumber UPM kepada Malaysiakini.

UPM kelmarin membatalkan kemenangan 7 calon pro-M kerana didapati berkempen secara berkumpulan dalam laman sosial Facebook.

Surat makluman pembatalan itu dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM kelmarin.

Tujuh calon umum pro-M yang dibatalkan kemenangan mereka ialah Muhammad Hazim Md Noh, Siti Hajar Zolqarnain, Mohammad Rafi Abu Bakar, Mohd Hanif Md Radzi, Azlinda Abdullah, Amirul Rahman Mohd Khozam dan Nurul Hanisah M Yunus.

Sumber berkata, tujuh calon lain yang menggantikan mereka ialah Anas Abu Hassan, Low Yak Leng, Hanita Hanim Mohd Ali, Muhd Zulkhairi Zulkifli, Siti Aisah Atan, Adibah Aini Anuar dan Pang Ping Fen.

Dalam pilihan raya kampus itu, pro-A menguasai 37 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan manakala pro-M hanya memenangi 11 kerusi. Dengan pembatalan tersebut, pro-M kini hanya tinggal 4 kerusi sahaja.

Selasa lalu, UPM mengadakan pilihan raya kampus yang menyaksikan 41 calon bertanding bagi merebut 16 kerusi umum.

Malaysiakini
terkini untuk anda