Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan tetapkan 10 Mac untuk mendengar hujah tiga responden dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung permohonan ketua umum PKR itu untuk mendakwa bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan atas kesalahan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya.

Hakim Mohd Shukor Sabudin menetapkan demikian selepas mendengar hujah peguam kedua belah pihak di mahkamah pagi ini.

Keputusan penangguhan tersebut dibuat kerana peguam Anwar memerlukan masa untuk menjawab afidavit tiga responden tersebut.

Tiga responden yang dinamakan dalam permohonannya Anwar ialah ketua pendakwa syarie, Shamsuddin Hussain; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Tarikh tersebut dipersetujui bersama oleh kedua belah pihak.

Kesemua responden tersebut diwakili tiga peguam, termasuk Zainul Rijal Abu Bakar manakala Anwar pula diwakili lima peguam yang diketuai oleh Kamar Aniah Kamaruzaman.

Terdahulu itu, Kamar Aniah berkata pihaknya menerima salinan bantahan awalitu pada 10 Februari lepas tetapi tidak berkesempatan untuk membalasnya dalam masa sehari di samping 'bertembung' dengan cuti umum Tahun Baru Cina.

Beliau memohon agar mahkamah memberi tempoh masa sehingga hujung bulan ini untuk membalasnya. 

Anwar memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terhadap Mohd Saiful yang didakwa membuat "tuduhan palsu terhadapnya".

Anwar, 62, berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Ketiga-tiga responden tersebut dinamakan dalam permohonan Anwar kepada Mahkamah Syariah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah dan relif supaya mahkamah mendakwa Mohd Saiful atas kesalahan qazaf di bawah Seksyen 41, Akta Jenayah Syariah 1997 dan/atau hukum Syarak dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah.

Anwar juga memohon mahkamah memastikan agar responden kedua dan ketiga, tidak menghalang dan/atau mempengaruhi responden pertama daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap Mohd Saiful.

Selain itu, Anwar juga meminta supaya kos permohonan dijadikan kos dalam kausa; relif-relif lain yang mahkamah fikirkan perlu; dan kegagalan mematuhi perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan penghinaan mahkamah.

ADS