Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis sembahyang hajat terhadap ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri bagi memohon hukuman Allah terhadap wakil rakyat itu yang keluar PKR 3 Mac lalu, masuk hari keempat hari ini.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang berkata, majlis solat hajat hari pertama dan kedua berlangsung di Balai Kuliah Tasawwur Islam di berdekatan Semanggol, Perak.

Manakala solat hajat pada hari-hari berikutnya sehingga Jumaat ini akan diadakan di markas dan surau-surau berlainan dalam kawasan parlimen Bagan Serai.

'Pada hari Jumaat ini - hari terakhir solat hajat selama tujuh hari terhadap Mohsin - akan diadakan di Masjid Kampung Tinggi, yang terletak bersebelahan markas PAS Bagan Serai," katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata, majlis solat hajat akan bermula selepas solat Isyak.

Sebelum ini dilaporkan - sehari selepas Mohsin mengisytihar keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas, Ahmad memberi tempoh tujuh hari untuk wakil rakyat itu meletakkan jawatan.

Ahmad yang juga bekas naib presiden PAS berkata pihaknya akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari tujuh malam supaya Mohsin diberikan hukuman setimpal kerana mengkhianati perjuangan, sekiranya beliau enggan.

Bagaimanapun, susulan tamatnya tempoh tersebut dan Mohsin masih juga tidak mahu melepaskan jawatannya, solat hajat tersebut diteruskan bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini.

Mengulas mengenai dakwaan Mohsin tidak dapat dihubungi kira-kira seminggu selepas keluar PKR baru-baru ini kerana bimbangkan keselamatan dirinya, Ahmad berkata ia adalah "alasan yang sengaja dibuat".

Ahmad berkata beliau amat mengenali pengundi di situ kerana selalu menyampaikan kuliah agama di kawasan tersebut.

Ahmad yang juga bekas pesuruhjaya PAS negeri menjelaskan perhimpunan yang diadakan di hadapan pejabatnya di situ adalah sekadar desakan supaya beliau mengosongkan kerusi tersebut.

"Tidak timbul sebarang ancaman kepadanya," katanya, bekas calon PAS yang bertanding di kawasan itu dalam pilihan raya umum 2004.

ADS