Umno perlu memberi peluang kepada calon muda kerana antara punca utama kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum 2008 ialah kerana meletakkan 'calon lama dan kurang berpelajaran',  kata pakar sejarah Datuk Profesor Dr Ramlah Adam.

"Mereka melantik calon yang kurang berpendidikan dan orang lama. Sepatutnya mereka memberi peluang kepada orang muda.

"Banyak kawasan terdiri daripada pengundi yang cerdik, tetapi lantik orang lama," katanya ketika ditemui di konvensyen BN di Shah Alam hari ini.

Dr Ramlah yang juga dekan fakulti sains pentadbiran dan pengajian polisi UITM adalah antara penceramah di Konvensyen BN tersebut.

Beliau diminta mengulas bagaimana cara atau langkah utama yang perlu dilakukan oleh Umno dan BN untuk merampas semula kerusi, khususnya di Selangor.

"Pemilihan calon biar betul, mesti mempunyai ijazah pertama. Pengundi sekarang adalah pengundi muda iaitu berumur 21 hingga 40 tahun.

"Mereka terdedah dengan dunia seperti internet, jadi cara mereka berfikir tidak sama dengan cara kita.

"BN harus letak calon yang setanding atau lebih daripada  mereka," katanya.