BN Hulu S'gor yakin capai sasaran
BN Hulu Selangor yakin mampu mencatat kemenangan dalan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor dengan mencapai sasaran 6,000 undi majoriti sepertimana yang diharapkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan pengarah pilihan raya kecil BN Hulu Selangor, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan dan kecenderungan pengundi di situ yang menurutnya telah kembali menyokong BN.
"Matlamat kita sama, iaitu untuk mendapatkan undi sama seperti jika dicampur bagi ketiga-tiga DUN dahulu (2008). (Pengundi) Melayu dan kaum India sudah mula menampakkan minat untuk bersama semula dengan BN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.
Dalam pilihan raya kecil umum 2008, BN memenangi ketiga-tiga DUN dalam Hulu Selangor - Hulu Bernam, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali - dengan majoriti lebih daripada 6,000 undi, tetapi calon BN tewas di peringkat Parlimen dengan majoriti tipis 198 undi.
Mohamed Idris diminta mengulas berhubung kenyataan timbalan perdana menteri yang mendakwa BN mensasarkan 6,000 undi sebagai KPI untuk mencapai kemenangan di Hulu Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Idris yang juga ketua Umno bahagian Hulu Selangor berkata pihaknya turut menumpukan kempen di kawasan Kuala Kubu Bharu - bagi melonjakkan sokongan pengundi Melayu kepada 85 peratus berbanding 60 hingga 65 peratus sebelum ini.
Calon BN dari MIC P Kamalanathan dan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ekoran kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak.
Dalam pilihan raya lalu, calon BN Datuk G Palanivel - yang empat penggal menjadi wakil rakyat di situ - tewas kepada Zainal dengan majoriti tipis.
Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Daripada jumlah itu, 52.7 peratus atau 34,020 adalah pengundi Melayu, Cina (16,964 atau 26.3%) dan India (12,453 atau 19.3%).

