Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor "lebih banyak bercakap daripada membuat kerja" demi publisiti, dakwa Umno Kota Raja.

"Mereka kata mereka lebih hebat daripada segala-galanya. Tapi kita tahu, mereka tidak buat, hanya cakap tak serupa bikin," kata Kamaruzzaman Johari sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya dalam mesyuarat bahagian itu pagi ini.

Ucapan itu dinyatakan di hadapan 292 perwakilan dari 79 cawangan di Auditorium Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Klang.

Dalam persidangan itu, Kamaruzzaman mendakwa ADUN Sri Muda Suhaimi Shafiei daripada PKR setelah dua tahun menjadi wakil rakyat, selain "kata-kata sedap dan janji manis" tiada projek pembangunan dijalankan di kawasan tersebut.

Kamaruzzaman mendakwa walaupun terdapat peruntukan untuk membina masjid di kawasan itu, sampai sekarang ia tidak menjadi kenyataan.

Katanya, ia berbeza dengan Umno bahagian itu yang mengambil inisiatif bertemu Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Noh Omar sehingga berjaya menyelesaikan masalah sewa rumah setinggan di Kampung Seri Nadi dengan pengurangan sebanyak 50 peratus.

'Dulu dia rajin jenguk tokong, kuil'

Parlimen Kota Raja mempunyai dua DUN iaitu Sri Muda dan Sri Andalas. Kesemua DUN dan parlimennya dikuasai oleh Pakatan.

Kamaruzzaman turut menempelak ahli parlimen kawasan itu Dr Siti Mariah Mahmud yang didakwanya "tidak menjenguk" rakyat di kawasannya.

"Kalau dahulu dia rajin menjenguk (rakyat) di tokong, kuil... Tapi bila rakyat mengadu tentang projek pembangunan, dia kata, yang ada peruntukan (hanya kerajaan) BN di peringkat persekutuan.

"Tapi sekarang Siti Mariah tak nampak batang hidung untuk menjenguk kampung-kampung, malu rasanya," katanya.

Dalam ucapan dasarnya juga, Kamaruzzaman mendakwa kerajaan di bawah Pakatan "tidak menunjukkan kesan kejayaan dalam pentadbiran" seperti yang dilakukan oleh BN dahulu.

"Kerajaan negeri gagal membuat perubahan pentadbiran dan perancangan pembangunan.

"Sebaliknya mengungkit keputusan dan mencari kesalahan BN untuk menutup kelemahan kerajaan negeri dalam menunaikan manifesto dalam pilihan raya dahulu," katanya.

ADS