Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS hari ini menafikan bahawa parti itu telah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion daripada Syarikat I'DA World Group Sdn Bhd.

"Saya dengan ini menafikan PAS pernah menerima cek sebenar atau sumbangan bernilai RM4 bilion dari syarikat ini. PAS juga tidak tahu menahu tentang projek syarikat ini di Kelantan.

pas salahudin ayub 230708 "Setelah menyemak dengan PAS Kelantan, saya juga mendapati PAS dan kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menerima permohonan dari syarikat ini untuk membuat sebarang projek pembangunan di sana," kata naib presiden PAS Salahudin Ayub ( kiri ) dalam satu kenyataan hari ini.

Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata parti itu "memandang serius ekoran tersebar gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan sebanyak RM4 bilion kepada PAS melalui satu cek replika".

"Sehubungan itu, kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Salahudin turut menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana ia jelas "cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat".

Salahudin mengulas laporan berhubung sebuah syarikat bumiputera, I'DA World Group Sdn Bhd yang menimbulkan misteri dan kejutan semua pihak kerana bermurah hati untuk menderma sebanyak RM4 bilion kepada PAS Kelantan bagi membangunkan negeri itu.

Ini termasuk Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) yang membabitkan kawasan seluas 144,000 ekar atau 576 hektar melibatkan kos RM313.71 juta.

Cek replika sumbangan itu diterima oleh adik menteri besar Kelantan, Nik Din Nik Mat pada Ahad lalu.

Jelasnya, cek daripada syarikat tersebut diterimanya atas kapasiti peribadi dan bukan wakili parti atau kerajaan negeri.

Satu jenaka

Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim juga menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Katanya, PAS Kelantan "tidak tahu menahu mengenai dengan sumbangan tersebut".

i'da world group rep meet nik aziz 220910 03 Beliau yang juga timbalan speaker DUN Kelantan berkata PAS tidak pernah dimaklumkan mengenainya biar pun cek replika itu dikatakan diserah pada satu majlis makan malam anjuran syarikat tersebut.

"Badan Perhubungan PAS tidak dijemput hadir pada majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan. Ini tidak lebih sebagai satu jenaka kerana kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan projek daripada I’DA World Group.

"(Badan) Perhubungan PAS Kelantan menafikan ada hubungan dengan syarikat berkenaan. Malah kita pun tidak kenal siapa pemilik syarikat itu,” kata Mohd Zaki yang dipetik Harakahdaily.net .

Menurutnya, PAS negeri itu belum bercadang melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa biar pun namanya dikaitkan  cek RM4 bilion berkenaan.

”Kita tidak kenal syarikat terbabit. Kita tengok dahulu perkembangannya sebelum mengambil tindakan lanjut bagi mengelakkan ada pihak mencemarkan nama PAS dan kerajaan negeri.”

ADS