AGM cabang PKR Kota Tinggi ditangguhkan
Cabang PKR Kota Tinggi, Johor, menangguhkan mesyuarat agung tahunannya hari ini, juga ekoran bantahan ahli.
Mereka membantah kerana mendakwa ketua dan setiausaha cabang tidak memberi taklimat dan juga tentang proses pemilihan di peringkat cabang.
Mereka juga mendakwa notis panggilan mesyuarat juga tidak dikeluarkan oleh pihak cabang.
Naib ketua cabang tersebut, Abdul Razak Isa telah mengemukakan bantahan tersebut pada 7 September lalu - dua hari selepas tarikh tutup penamaan calon.
Ketika dihubungi hari ini, Abdul Razak berkata, perkara itu telah diambil tindakan oleh pihak jawatankuasa pemilihan pusat.
Katanya, beliau juga telah menghubungi setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berhubung status cabang berkenaan.
Menurutnya, Saifuddin memaklumnya kepadanya yang beliau telah memaklumkan pihak negeri supaya mengadakan taklimat mengenai pemilihan di peringkat cabang.
Bagaimanapun, kata Abdul Razak, tidak ada taklimat dan juga tiada notis panggilan mesyuarat dikeluarkan kepada ahli-ahli.

