Pemilihan PKR pada minggu kedua diteruskan hari ini dengan sembilan lagi cabang - kesemuanya di Sabah - akan mengundi memilih pucuk pimpinan parti termasuk pemimpin-pemimpin sayapnya.

Cabang berkenaan adalah Tawau, Pensiangan, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Putatan, Sipitang, Beluran dan Tenom.

azlan Dalam pemilihan semalam, keputusan tidak rasmi daripada 78 cabang yang diperoleh Malaysiakini, Naib Presiden Azmin Ali terus menjarakkan kedudukan dengan dua pencabarnya bagi jawatan timbalan presiden.

Azmin yang juga ahli parlimen Gombak mendapat 5,027 undi.

Pencabar terdekatnya Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperolehi 3,408 manakala Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,197 undi.

Ini bermakna, setakat ini, Azmin masih mengungguli - sejak minggu pertama - dengan majoriti 1,619 undi.

NONE Walaupun hanya sembilan cabang di negeri itu mengadakan pemilihannya hari ini, Sabah tetap dianggap sebagai negeri tumpuan kerana mempunyai bilangan anggota terbesar dalam PKR, selepas Selangor.

Sehubungan itu, pencapaian seseorang calon bertanding di negeri itu bakal menentukan sebahagian besar nasibnya dalam perjalanan panjang pemilihan sehingga 21 November depan.

Sebelum ini, dalam persaingan merebut kerusi nombor dua dalam PKR itu, Zaid sebagai bekas menteri dianggap lebih popular daripada Azmin - bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, jika corak daripada keputusan semalam berterusan - yang mana Azmin terus menggungguli di depan - tanggapan ini mungkin tidak kekal lama.

Seramai kira-kira 400,000 angggota PKR daripada leboh 200 cabangnya akan terlibat dalam pemilihan berdasarkan sistem "1 undi 1 anggota" yang diperkenalkan buat pertama kali itu.