Pemuda Sg Besar sedia pikul amanat Khir
Pemuda Umno Sungai Besar akan memikul amanat bekas ketua bahagian tersebut Dtuk Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Dr Mohd Khir yang juga ADUN Sungai Panjang, telah digantung semua jawatannya dalam parti selepas dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Ketua Pemuda bahagian, Budiman Mohd Zuhdi berkata, bekas menteri besar Selangor itu turut menasihati jentera pilihan raya bahagian itu terus digerakkan bagi mempertahankan DUN Sungai Panjang.
"Beliau memberi nasihat dan amanat supaya terus dengan menggerakkan jentera dan (melaksanakan) perancangan awal untuk mempertahankan DUN Sungai Burung dan merampas semula DUN Sekinchan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini kelmarin.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bentuk perancangan tersebut kerana ia "merupakan rahsia parti".
Budiman mengulas berhubung keputusan pucuk pimpinan parti menggantung Dr Mohd Khir dari semua jawatan parti yang dipegangnya selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah minggu lalu.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilapor berkata tindakan tersebut tidak ada hubungannya dengan pertimbangan kepentingan politik BN, tetapi ditetapkan dalam perlembagaan parti.
Akhbar Sinar Harian melaporkan beliau berkata, sesiapa sahaja yang didakwa atau menunggu kes mahkamah, akan digantung jawatannya dalam parti, seperti yang dilakukan sebelumnya dan kedudukan mereka tidak dikembalikan walaupun mereka kemudiannya didapati tidak bersalah.
Pada 6 Disember lalu, Dr Mohd Khir dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah . Bagaimanapun kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Ekoran daripada dakwaaan tersebut, beliau serta merta melepaskan jawatannya sebagai jawatan ketua pembangkang DUN Selangor dan menyerahkan pucuk pimpinan parti memutuskan siapa penggantinya.

