Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perubahan kepimpinan Umno Terengganu dilihat sebagai peluang terbaik untuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mententeramkan gelora politik Umno di negeri itu, sekiranya jawatan timbalan ketua perhubungan negeri diisi oleh tokoh yang boleh diterima oleh puak-puak yang bertelagah sekarang.

kuala terengganu by election ahmad said visit media centre 080109 03 Ahmad (kiri) kini merupakan timbalan ketua perhubungan negeri itu dan dijangka dilantik menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai ketua Umno  Terengganu.

Terengganu adalah antara lima negeri yang akan bertukar pucuk pimpinannya sepertimana yang diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu perhimpunan agung Umno Oktober lalu.

Empat negeri lagi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,  Kedah, Pulau Pinang dan Selangor - semuanya di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Selepas pilihan raya umum 2008 - dalam usaha merampas semula negeri-negeri berkenaan - perdana menteri sendiri menerajui Umno Selangor dan timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilantik mengetui Umno Wilayah.

idris jusoh pc 250308 04 Manakala tiga naib presiden Umno - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin dan Datuk Seri Shafie Apdal - masing-masing dilantik menerajui Umno Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah.

Menurut sumber-sumber, jawatan timbalan ketua perhubungan Umno Terengganu perlu diisi oleh seorang tokoh yang boleh diterima kumpulan menteri besar dan bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) - sebagai penghubung antara dua puak yang bertelagah itu.

"Cakap-cakap di kalangan akar umbi ialah jawatan timbalan ketua perhubungan Umno negeri akan diserahkan kepada exco kanan yang dilihat berpengalaman, iaitu Ahmad Razif Abd Rahman," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir memegang portfolio jawatankuasa pelajaran, pengajian tinggi, sains, teknologi dan sumber manusia.

Sumber-sumber itu berkata, Ahmad Razif dilihat berkemampuan untuk membantu menteri besar 'mententeramkan' gelora politik Umno negeri.

Satu lagi nama yang disebut-sebut mungkin dilantik sebagai timbalan ketua perhubungan negeri ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek yang merupakan ahli parlimen Kemaman dan menteri belia dan sukan.

"Sesiapa pun boleh (jadi timbalan pengerusi) tapi dia mesti dilihat menjadi pembantu kepada pengerusi.

"Kalau dia bagus, tapi 'tak ngam' dengan pengerusi, tak jadi juga... Kalau pemimpin (berada) di peringkat pusat, dia berada jauh, tak dapat membantu dalam (pentadbiran) negeri," kata sumber itu lagi.

Di Kedah, timbalan ketua perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dijangka dilantik menggantikan Shafie manakala Datuk Mukhriz Mahathir dijangka mengisi tempat Ahmad Bashah.

mukhriz mahathir gaza fund 010208 serious Pemilihan Mukhriz - yang juga ahli parlimen Jerlun dan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri - dilihat sebagai asas untuk menarik pengundi terutama sekali golongan muda.

Malah 14 daripada 15 Pemuda Umno bahagian di negeri itu mencalonkan beliau merebut jawatan ketua Pemuda Umno pusat, dalam pemilihan parti itu dua tahun lalu.

Selain Mukhriz, sumber-sumber Umno negeri itu berkata, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Umno bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir juga dilihat berpeluang mengisi jawatan nombor dua itu.

Kedua-duanya adalah anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dilantik.

Bagaimanapun, kata sumber-sumber itu, Umno negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pemimpin untuk memilih calon yang terbaik untuk jawatan tersebut.

"Kami menerima sesiapa sahaja, asalkan mereka (bakal timbalan ketua perhubungan) dapat membantu ketua perhubungan.

"Fokus kita untuk memenangi pilihan raya dan seterusnya menawan semula Kedah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS