Pakatan Rakyat kini sedang memuktamadkan rundingan bagi pengagihan kerusi di kalangan parti komponennya dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkat parti itu kini sedang mengadakan rundingan ke atas dua lagi kerusi yang ingin ditandingi DAP.

Bagi PAS pula, parti itu dikatakan berminat untuk mendapatkan "dua atau tiga kerusi lagi."

Tanpa menamakan kawasan pilihan raya itu, Azmin berkata, agihan kerusi berkenaan tidak melibatkan kawasan yang telah dimenangi oleh parti berkenaan pada pilihan raya umum 2008.

Kawasan berkenaan termasuk DUN Padungan yang kini dipegang wakil rakyat PKR Dominique Ng.

Rundingan tersebut turut diadakan di antara PKR dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) yang mahu bertanding di 28 kawasan DUN.

Snap menyertai Pakatan pada April tahun lalu.

Sebanyak 28 kawasan itu perlu diagihkan daripada 40 kerusi DUN yang ingin ditandingi PKR, kata Azmin.

Azmin berkata PKR ingin bertanding di kawasan majoriti Dayak dan Iban dan parti itu mungkin tidak akan menyerahkan begitu banyak kerusi.

Katanya lagi, beliau menjangkakan pilihan raya negeri itu diadakan menjelang hujung bulan depan dan PKR telah mula merancang logistik dan jentera untuk pilihan raya itu.

Tambahnya, pilihan raya itu mungkin diadakan sebaik selepas sambutan ulangtahun ke-30 Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri.

PKR juga telahpun menghantar bahan publisiti kempen seperti kemeja-T dan poster ke negeri itu dan pemimpin parti akan terus berkunjung ke Sarawak dalam tempoh beberapa minggu hadapan.

[Baca berita penuh]