Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Plot drama pentas 'Tanah Bernanah' hasil karya Aminah Rhapor ini tidak sukar untuk difahami. Ia mengisahkan kehidupan masyarakat kelas bawahan yang hidup dalam kawasan setinggan di pinggir sebuah kota.

Bertitik tolak dari premis itu, kita dapat membayangkan bagaimana situasi kehidupan dengan serba kedaifan dan kekurangan. Walaupun begitu, pementasan arahan Harithnin Hamshah selama satu jam ini berjaya membuatkan penonton terpana dan tidak kering gusi sehingga akhir pementasan.

teater tanah bernanah Begitulah secara umumnya - pementasan 'Tanah Bernanah' – yang dipentaskan oleh pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda teknologi kreatif, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik Universiti teknologi Mara (UiTM) di Auditorium Muzium di ibu negara malam semalam.

Pada pandangan saya – beberapa pelakon yang mendokong teraju utama pementasan ini, kelihatan melakonkan secara bersahaja dengan penghayatan watak dan skrip yang memberi kesan terhadap perjalanan cerita ini. Antaranya watak Anjah, Minah, Kiah, Salmah dan Bidin.

Babak awal pementasan bermula dengan dua pelakon Mohamad Saidi Mohd Ali dan Shahriza Hazani – yang memegang watak Anjah dan Minah - berjaya memikat hati penonton dengan telatah sebagai kanak-kanak setinggan yang comot tetapi bercita-cita tinggi.

Jika melihat dari konteks yang lebih luas, kita dapati bagaimana, keciciran mereka dalam dunia pendidikan susulan 'kemiskinan kota' yang dihadapi membuatkan mereka hanya sekadar bermain bahan buangan seperti kereta mainan, kayu, besi, tayar, tong, hos paip dan botol pada suatu hari dan hari-hari berikutnya.

Pelacur

Kehidupan serba kekurangan itu juga, dapat dilihat bagaimana Kiah – ibu Anjah – lakonan Zalika Nadia terpaksa bekerja menjadi sebagai 'tukang tilik tangan' atau pelacur kepada orang luar untuk menyara kehidupan sekeluarga.

Jauh dari sudut itu, bagaimana kemiskinan membuatkan Kiah melayani lelaki setelah ditinggalkan oleh suaminya. Dialog dan babak pergaduhan antara Kiah dan Anjah sehingga berlaku sepak menyepak dan pukul memukul menjadi bukti kemiskinan memungkinkan segala dosa berlaku.

teater tanah bernanah Babak inilah yang memacu kepada babak kemuncak dalam pementasan ini. Sehubungan itu, pementasan ini turut membangkitkan isu moral dalam masyarakat setinggan.

Dunia setinggan juga memaksa mereka hidup dalam perkongsian. Ya, mereka berkongsi air dari sumber pili air yang satu. Di situlah, mereka dan orang kampung yang lain menggunakan air untuk kehidupan seharian. Bagaimanapun, perkongsian itu tidak menjadikan mereka bersikap tolak ansur tetapi lebih kepada mementingkan diri sendiri.

Malah dari dalam rumah, terdengar jeritan Kiah memarahi pengguna lain dan mengarah agar hos paip itu disambung, semula membolehkannya mencuci tubuh badan selepas melayani 'jantan' kota. Ini kerana Salmah menukar hos getahnya bagi mengangkut air untuk kegunaan seharian. Hal ini membawa kepada babak klimaks pementasan teater ini.

Babak itu ialah bagaimana pada suatu hari pergaduhan Salmah – lakonan Haryani Ismail – dengan Kiah sehingga berlakunya perang mulut dan sindir menyindir yang hampir membawa pergaduhan fizikal.

teater tanah bernanah Seperti dikatakan tadi, terdapat beberapa pelakon yang melakonkan watak dengan bersahaja dan Salmah salah seorang daripadanya. Dia berjaya menjadikan jalan cerita hidup dengan telatah dan bising 'mulut murainya' dari tutur telor 'orang Perak. Sungguhpun begitu, Salmah, kalau boleh tidak mahu lagi hidup dalam dunia setinggan itu, malah mahu keluar dari kesengsaraan itu.

Busuk hati

Kehidupan setinggan tidak dapat lari dari sikap busuk hati dan iri hati Salmah yang mahu menyingkirkan Kiah dari setinggan itu. Dia mengajak Bidin – ayah kepada Minah – untuk menghalau Kiah dari situ kerana mendakwa perbuatannya itu tidak diterima oleh masyarakat setempat.

Bidin – lakonan Razali Hussain – juga tidak suka anaknya berkawan dengan Anjah, walaupun dalam diam, dia juga turut mengendap aktiviti 'menilik tangan' Kiah dengan lelaki berhidung belang di dalam sebuah bilik.

Walaupun mahu menghalau Kiah keluar dari setinggan, mereka sebenarnya sedar bahawa mereka juga akan turut dihalau dari perkampungan itu. Bidin enggan berpindah dalam apa jua keadaaan sekalipun.

teater tanah bernanah Dia mahu mempertahankan kawasan rumah setinggan itu, kerana di situlah tanah tempat dirinya membesar. Dia sanggup menggadaikan darah dan berlawan demi mempertahankan tanah itu daripada orang luar.

Suatu hari mendengar perkhabaran 'orang-orang' luar mahu merobohkan setinggan, Bidin mengamuk sakan. Berbekalkan sebilah parang tajam, Bidin menuju melawan mahu berparang dengan 'orang-orang' sehingga akhirnya menyebabkannya ditahan polis. Tapi bagi Anjah dan khususnya kepada Minah, hidup mereka diteruskan dengan bermain-main seperti biasa.

Harithnin juga turut menunjukkan kekreatifan apabila menyulam cerita dengan plot dengan selingan petikan gitar dua anak muda sambil menanyikan lagu 'Kerja Gila' nyanyian Amy Search di samping menyelitkan lagu latar M Nasir 'Anak-anak kita”.

Malah telatah dan celoteh Anjah dan Minah yang bermain-main sambil menanyikan lagu 'Malaysia kita sudah berjaya' turut membuatkan penonton rasa terhibur.

Produksi bagi projek tahun akhir pelajar ijazah sarjana muda ini, saya kira memadai dan mencukupi syarat sebagai sebuah teater yang menghiburkan. Daripada lima, saya beri tiga bintang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS