Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lagi pemimpin kanan PAS - Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Naib presiden PAS itu yang juga pesuruhjaya PAS Pahang, dicalonkan oleh PAS kawasan Temerloh.

pas muktamar 130610 tuan ibrahim tuan man Kawasan tersebut yang bermesyuarat sebelum ini telah menyerahkan kepada jawatankuasa kawasan itu untuk membuat pencalonan bagi jawatan tertinggi parti - presiden, timbalan, naib dan jawatankuasa pusat.

Dan Jumaat lalu, AJK kawasan itu bermesyuarat dan Tuan Ibrahim terpilih untuk dicalonkan bertanding timbalan presiden melalui undian.

Setakat ini, bekas naib presiden Mohamad Sabu telah layak bertanding jawatan timbalan presiden selepas mendapat tiga pencalonan, iaitu dari kawasan Kubang Kerian, Bukit Bintang dan Muar.

Tuan Ibrahim memerlukan satu lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan tersebut.

Sementara itu, timbalan yang dipertua PAS Temerloh, Hassanuddin Salim berkata pencalonan Tuan Ibrahim itu mencerminkan hasrat akar umbi di kawasan tersebut.

"Jika banyak pencalonan (untuknya), saya rasa beliau akan terima (pencalonan)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

PAS Temerloh juga sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengekalkan jawatan presiden.

Bagi jawatan naib presiden pula, Temerloh mencalon mengekalkan dua penyandang - ahli parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayub dan ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, serta mencalonkan Mohamad Sabu.

Ditanya mengapa Temerloh mencalonkan Tuan Ibrahim sedangkan tokoh agama itu dilaporkan tidak berhasrat untuk bertanding jawatan berkenaan, Hassanuddin berkata:

"Kami mencalonkan beliau, terpulang kepada tuan tubuh untuk menerima ataupun tidak. Kami merasakan masih ada ruang untuk beliau berfikir semula (untuk bertanding).

"Dalam PAS, kadang-kadang mereka merendah diri, sebab itu beliau berkata begitu (tidak mahu bertanding)," katanya.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilapor hanya mahu mempertahankan jawatan naib presiden PAS sekiranya ada pencalonan.

ADS