mk-logo
Berita
Hadi: Saya gembira dengan kabinet pilihan raya ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan barisan kepimpinan baru termasuk sayap-sayap parti yang dipilih dalam muktamar PAS kali ini adalah kabinet pilihan raya.

NONE Katanya, barisan kepimpinan ini dianggotai barisan pemimpin yang dipilih yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ulama, profesional dan pemimpin masyarakat.

"Saya bergembira dan ahli-ahli bergembira (dengan keputusan ini). Muktamar semakin hari semakin meriah. Ini menunjukkan kematangan ahli-ahli kita.

"Ahli-ahli memilih saf di hadapan untuk pilihan raya. Dengan sebab itu kabinet saya kali ini adalah kabinet pilihan raya," katanya.

Katanya, barisan yang terbaru khususnya bagi jawatan timbalan dan naib yang dianggotai daripada bukan Ulama, adalah bukan satu perkara yang baru.

Jelasnya, dalam kepimpinan baru ini dianggotai lapan tokoh yang dikategorikan sebagai ulama, dua pemimpin bertaraf doktor dan beberapa pemimpin profesional dan pemimpin masyarakat.

"Kita memimpin secara kolektif bukan secara individu," katanya.

Pelbagai latar

NONE Abdul Hadi mengulas barisan kepimpinan baru yang dianggotai dari pelbagai latar belakang bagi mengemudi parti dalam berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

Dalam pemilihan PAS Mohamad Sabu dipilih sebagai timbalan presiden baru meraih 420 undi dengan mengalahkan dua calon ulama - iaitu penyandangnya Nasharudin Mat Isa.

Nasharudin yang juga ahli parlimen Bachok mendapat 224 Undi manakala Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memperolehi 399 Undi.

Manakala bagi jawatan naib presiden pula ia dua ahli parlimen penyandangnya di jawatan itu - Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Salahudin meraih 753 undi manakala Mahfuz pula mendapat 616 undi sementara exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mendapat 660 Undi.

Ibarat tukar perabot rumah

Bercakap dalam sidang media di muktamar PAS di Gombak hari ini, Abdul Hadi menafikan barisan kepimpinan baru parti itu dipengaruhi mana-mana individu, termasuk ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak terikat dengan individu tertentu. Kita kerja bersama-sama.... Bukan pemimpin yang membuat perubahan, perwakilan yang membuat perubahan.

"Strategi kita berubah, tetapi dasar, matlamat dan acuan  kita tidak berubah," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Menjawab soalan, Abdul Hadi berkata PAS tidak bersikap diktator dalam urusan pemilihan kepimpinan parti sebaliknya PAS mengamalkan "demokrasi tulen" antaranya dalam kempen yang bersih tanpa budaya fitnah.

"Ini satu perkembangan yang baik dan matang dari perwakilan. Perubahan dalam pucuk pimpinan (parti) perkara biasa.  Bila kita hadapi musim baru, maka ada perabot rumah yang kita alih.

"Bila kita alih perabut rumah, orang bunyi bising, orang kata kita bergaduh. Kita tidak bergaduh, kita usung perabot sahaja," katanya.

Ditanya sama ada bukan ulama boleh menjadi presiden parti, Abdul Hadi berkata perlembagaan parti tidak menghalangnya berbuat demikian.

"PAS adalah parti terbuka, tidak eksklusif untuk satu-satu kelompok (sahaja)," celah naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang turut hadir dalam sidang media itu.

VIDEO | 16.18 min

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS