Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan berjumpa dengan Peguam Negara hari ini bagi  membincangkan undang-undang baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

NONE Menurut pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam ( kiri ), - Tan Sri Abdul Gani Patail "optimis" dengan pertemuan itu dan telah menyatakan bahawa beberapa cadangan awal suruhanjaya itu akan dimasukkan.

"Kata beliau, mereka akan memasukkan lebih daripada cadangan yang telah kami buat ke atas Akta tahun 2003 itu," katanya kepada pemberita.

"Saya boleh katakan bahawa beliau optimis... mungkin beliau mahu mewujudkan suasana yang mesra untuk perbincangan tetapi kami menaruh harapan."

Perdana Menteri pada 15 September lalu mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan. Sejak itu, beberapa laporan mencadangkan bahawa ini boleh berlaku sewal bulan Mac depan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Hasmy sebagai berkata Suhakam tidak akan mendesak kerajaan melaksanakan dua undang-undang baru keselamatan negara yang dicadangkan menggantikan ISA.

Sambil menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana langkah beliau menghapus ISA, katanya adalah mustahak bagi kerajaan mempastikan akta baru itu melindungi dan memupuk hak asasi manusia.

Beliau berkata, harus wujud perbezaan dalam peruntukan antara ISA dan undang-undang baru keselamatan negara itu.

"Kita akan beri ruang kepada kerajaan oleh kerana proses melaksanakan perundangan yang baik akan mengambil masa,” kata beliau hari ini.

Hasmy menegaskan kerajaan hendaklah menggantikan beberapa peruntukan dalam undang-undang baru itu sebagaimana dicadangkan Suhakam pada 2003 seperti penahanan seseorang oleh polis mungkin untuk tempoh maksimum 24-jam.

Selepas itu orang berkenaan mesti dikemukakan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi dan jika lebih masa diperlukan untuk siasatan dan wujud keperluan mutlak untuk menahan orang itu lebih dari 24-jam, perintah Hakim Mahkamah Tinggi mesti didapatkan, katanya.

Beliau menyifatkan keputusan Najib itu sebagai “detik bersejarah” dan memberi peluang kepada Suhakam untuk bergerak aktif dalam memperjuangkan hak asasi manusia.