Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak sah mengikut perlembagaan kini mendorong mahasiswa untuk berusaha membebaskan diri daripada "penjara AUKU".

Gabungan Mahasiwa Islam Semenanjung (GAMIS) berpendapat, keputusan itu menunjukkan kebebasan itu kini semakin menyerlah.

"Sememangnya AUKU tidak menyokong semangat perlembangaan persekutuan dan bercanggah dengan hak asasi manusia untuk bersuara, berhimpun dan menyertai kumpulan bebas," kata presidennya Ahmad Syazwan Muhammad Hassan.

Dakwanya, walaupun AUKU berjaya menyekat mahasiswa berfikir dan terlibat dalam politik, mutakhir ini kumpulan itu tidak lagi takut berdepannya.

Ini dibuktikan dalam tindakan empat mahasiswa Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) yang mencabarkanya di mahkamah yang menjadi sejarah baru dunia kampus.

Sehubungan itu, GAMIS berharap kerajaan menimbang supaya AUKU digantikan dengan akta baru yang "mempunyai roh dan semangat perlembagaan" dan menyunjung prinsip kebebasan bersuara dan berfikir mahasiswa.

"Jika ISA dihapuskan kerana desakan ramai dan tekanan awam,  maka AUKU juga sama. Sifat zalim dan menyekat AUKU adalah serupa dan senada dengan apa yang ada dalam ISA," katanya.

PKPIM: Ambil pengajaran

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) akta itu sebagai tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil pada April tahun lalu.

Sementara itu, presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menggesa universiti "mengambil pengajaran" ekoran keputusan mahkamah hari ini.

"(Universiti) perlu memberi kebebasan pelajar dan tenaga akademik untuk memberikan pendapat. Univerisiti perlu ambil pengajaran (ini)," katanya.

"AUKU sudah tidak relevan. Jika ISA mudah untuk perdana menteri mansuhkan, apatah lagi AUKU."

Ahmad Fahmi juga berharap keputusan mahkamah hari ini diterima dengan lapang dada oleh pelbagai pihak dan tidak dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya minta UKM membuat dan tumpu kerja lain. Kita tidak mahu perkara ini dipanjangkan. Kalau boleh selesaikan diluar mahkamah," katanya.

Seksyen 15(5) memperuntukan bahawa pelajar atau pertubuhan pelajar tidak boleh menyatakan apa-apa jua sokongan/simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, pertubuhan/badan atau kumpulan dalam dan luar negara.

ADS