Selain Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang akan dipinda, sekurang-kurangnya tiga akta lain juga perlu dipinda bagi membolehkan mahasiswa terlibat dengan politik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, tiga lagi akta yang perlu dipinda bersama adalah Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta 1996, Akta Institusi Pendidikan (Displin) 1976 dan Akta Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1976 untuk melihat pindaan AUKU itu "lebih konsisten".

NONE "Pada saya, yang penting adalah prinsip. Principal established

(prinsip yang tercatat) ialah sangat radikal. Perbezaan yang sangat radikal. Dahulu kerajaan tidak mengiktiraf hak mahasiswa dan pelajar institusi pengajian tinggi untuk berpolitik.

"Pindaan itu mestilah pindaan yang bersifat progresif, bukan regresif. Dia juga mesti bersifat komprehensif bukan restrictive (menyekat)," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi progresif dan komprehensif jika melihat kepada pindaan bahawa kerajaan membenarkan mahasiswa menjadi ahli politik, dan bukan melihat parti politik yang berada di luar kampus.

"Kalau matlamatnya adalah pelajar awak, maka kamu akan menjadi komprehensif dan progresif. Kalau kamu pergi ke parti, kamu akan regresif dan kamu banyak (berkata) 'tidak boleh'.

"Jadi, kita tidak mahu pindaan itu lebih banyak (berkata) "tidak boleh". Ia mesti lebih banyak "boleh". Kalau tidak, ia bercanggah dengan transformasi (yang hendak dibuat)," katanya.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Temerloh berkata kerajaan perlu melihat secara menyeluruh tiga akta berkenaan kerana "ayatnya lebih kurang sama dengan seksyen itu" dalam AUKU.

Katanya, Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta mempunyai Seksyen 47, manakala  Akta Institusi Pendidikan (Displin) terkandung dalam Seksyen 10 sementara Akta UITM pula yang dikaitkan dengan Akta Institusi Pendidikan.

NONE Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor

berkata Seksyen 15, AUKU akan dipinda bagi membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Katanya, kebenaran itu hanya terhad kepada mereka yang berumur 21 tahun dan ke atas sahaja dan mereka masih tidak boleh membawa politik kepartian ke kampus.

Najib dilapor berkata kerajaan percaya kepada kematangan dan kebijaksanan para mahasiswa yang disifatkkannya "telah mencapai umur baligh undang-undang atau 'age of majority'.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata beliau merasakan "tidak perlu" kerajaan merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan akhir bulan lalu yang memutuskan seksyen 15 (5) (a) tidak sah dari segi pelembagaan dan menyekat kebebasan bersuara.

Katanya, pandangan beliau itu turut dikongsi bersama dengan beberapa orang menteri, sekumpulan ahli parlimen kerajaan dan naib canselor.

Saifuddin menyifatkan kenyataan perdana menteri tentang pindaan tersebut sebagai sebagai "adil" kerana ia memberi ruang kepda pindaan untuk menjadikannya komprehensif dan progresif serta mengelak daripada regresif dan menyekat.   

Ditanya mengenai Akta Perhimpunan Aman 2011 (PA2011) yang tidak membenarkan rakyat berumur bawah 21 tahun menganjur dan terlibat dengan demonstrasi, Saifuddin berkata beliau melihat perkara itu dalam gambaran yang lebih besar.

"Pada saya, ia juga membawa satu perubahan yang sangat drastik. Sebelum ini kerajaan sangat elergik dengan perhimpunan.  Sebut sahaja perhimpunan, pertama sekali disebut, tidak boleh.

"Itulah hakikatnya, semua orang tahu. (Tetapi) sekurang-kurangnya hari ini kerajaan mengiktiraf bahawa perhimpunan adalah sebahagian daripada demokrasi," katanya.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno serta ahli parlimen BN, mengakui beberapa seksyen dalam akta tersebut "menimbulkan persoalan" dan berharap ia masih boleh diperbaiki.

"Jadi saya tidak tahu apa yang akan diperbahaskan pada hari Selasa nanti. Saya berharap masih ada masa untuk membuat pindaan bagi memperbaiki apa yang perlu diperbaiki dalam akta tersebut.  

"Keseluruhanya saya menganggap akta itu, menunjukkan perubahan besar dari segi pandangan kerajaan terhadap perhimpunan... Kita nak Akta Perhimpunan Aman 2011 benar-benar bersifat transformatif dan sekali lagi, tidak menyekat. Macam AUKU tadilah," katanya.