Pemimpin Kristian, Paderi Eu Hong Seng hari ini enggan memberi komen lanjut berhubung reaksi keras yang timbul ekoran ucapan kontroversinya di ambang sambutan Krismas, empat hari lalu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship itu berkata beliau tidak mahu "mengeruhkan" lagi keadaan.

Beliau pada Sabtu dilaporkan berkata, terdapat perbincangan berterusan terhadap hak kumpulan majoriti bawah Perkara 153 tetapi hak minoriti jarang diperkatakan.

Kenyataan itu disambut dengan keras oleh kumpulan pendesak Melayu, PERKASA yang menggesa kerajaan bertindak tegas ke atas Eu dengan menggunakan Akta Hasutan 1948.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali mendakwa, Eu cuba mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan melalui kenyataan bahawa peruntukan itu "membuli kaum yang lain."

Ucapan Eu itu juga meraih perhatian timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu debat berhubung Perkara 153 itu dihentikan kerana ia hanya akan membangkitkan sentimen perkauman.

Eu dalam ucapannya pada 2008 turut menimbulkan kontroversi apabila beliau mempersoalkan mengapa penganut Kristian perlu beribadat di rumah kedai dan lot kilang.

Beliau menyampaikan ucapan berkenaan pada satu majlis sambutan Krismas yang turut dihadiri perdana menteri pada waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

[Baca berita penuh]