Malaysiakini BERITA

PERKASA: Thaipusam, Najib bawa obor perpaduan

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA hari ini beranggapan kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Batu Caves di ibu negara, minggu lalu adalah dengan niat bagi memberi perhatian kepada semua kaum dengan membawa obor perpaduan.

NONE “Mungkin beliau memberi observation (pemantauan)... Saya bukan mufti. Hal berkaitan dengan hal ehwal Islam, saya tak mahu komen kerana tidak mahu disalah petik,” kata presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali.

Beliau pada sidang akhbrnya di Kuala Lumpur diminta mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meluahkan rasa terkilan dengan tindakan lawatan Najib itu yang didakwa "menggadai akidah" walaupun sudah ditegur setiap tahun.

Menurut Ibrahim yang juga ahli parlimen Bebas, Pasir Mas, jika Harussani membuat kenyataan seumpama itu, wartawan perlu merujuk kepadanya sama ada benar atau tidak.

"Kena tanya orang yang lebih berpengalaman. Saya serah kepada alim ulama sebab ini bidangnya. Bidang orang agama, kena tanya orang agama," katanya.

Nik Aziz juga hadir

Najib pada 7 Februari lalu hadir ke sambutan Thaipusam lengkap berpakaian kurta kuning muda dan dipakaikan kalungan bunga yang amat besar. Gambarnya juga didirikan setinggi patung berhala di Batu Caves sehingga mencuri tumpuan.

najib thaipusam 2011 Tindakan itu mencetuskan kemarahan NGO dan PAS serta umat Islam yang membidas tindakannya itu.

Sebelum ini, perdana menteri terdahulu, termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad masing-masing menghantar wakil ke sambutan Thaipusam itu.

Ibrahim bagaimanapun berkata Najib mungkin tidak sempat merujuk kepada pandangan agama sebelum menghadiri acara itu.

"Datuk Najib mungkin pergi ke Thaipusam, mungkin dengan niat dalam konteks untuk membawa obor perpaduan rakyat Malaysia.

NONE "Mungkin dia tidak lihat dari aspek agama. Kalau dia diberi nasihat, sudah tentu dia akan patuhi," katanya.

Namun, menurut beliau, terdapat juga pemimpin Islam lain termasuk dari pembangkang yang menghadiri upacara keagamaan bukan Islam.

"Macam Menteri Besar (Datuk) Nik Aziz Nik Mat pernah pergi ke kawasan dan kegiatan agama lain. Contohnya di Kelantan dia masuk masuk wat Buddha. Banyak kali.

"Dan kalau Nik Aziz masuk di wat Buddha, kalau orang tanya, kenapa Nik Aziz masuk di wat Buddha, itu perayaan agama, pihak mereka menjawab, Nik Aziz pergi berdakwah. Maksudnya tak salah bagi Nik Aziz. Kalau Datuk Najib salah," katanya.

najib thaipusam batu caves 070212 Menurut Ibrahim, beliau berpendapat perayaan Thaipusam, Wesak, dan Krismas adalah perayaan agama.

"Perayaan agama, saya diberitahu, tidak boleh kita turut serta. Sebagai orang Islam sebab ia bertentangan akidah dan syariah," katanya.