Kumpulan pelajar pro-Mahasiswa (pro-M) kesal dengan pentadbiran Universiti Malaya (UM) yang membentuk dan melantik wakil mahasiswa menganggotai satu badan eksekutif sementara bagi menggantikan Majlis Perwakilan Mahasiswa kampus berkenaan (MPUM) tanpa perbincangan dengan pelajar.

Bekas setiausaha MPMUM, Hawari Zakaria berkata, kampus berkenaan sepatutnya berbuat demikian dengan mengambil kira suara mahasiswa berkenaan.

"Kenapa bersungguh melantik (badan sementara) tanpa mengambil suara ramai mahasiswa.

"Kalau perlantikan MPMUM dipilih oleh suara mahasiswa, mengapa pemilihan badan eksekutif tidak dipilih melalui suara ramai," kata Hawari ketika bercakap kepada pemberita hari ini.

Beliau turut mempertikaikan bidang tugas anggota badan berkenaan yang menurutnya terhad kepada urusan pentadbiran MPPUM sahaja.

Beliau berkata demikian dengan merujuk surat pelantikan anggota badan tersebut yang menyatakan tugas wakil pelajar berkenaan untuk "menjalankan tugas harian berkaitan dengan urusan pentadbiran MPPUM dan apa-apa tugas berkaitan yang diarahkan oleh pihak berkuasa universiti."

Hawari turut mempersoalkan tindakan kampus berkenaan yang melantik sehingga sembilan orang wakil pelajar pro-Aspirasi (pro-A) ke dalam badan sementara itu, sedangkan kumpulan pro-M memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya kampus sebelum ini.

Wakil pro-M memenangi 24 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, manakala wakil pelajar pro-A melalui Penggerak Mahasiswa UM hanya memenangi 17 kerusi dalam pilihan raya kampus sebelum ini.

Pemimpin pelajar berkenaan menerima surat pelantikan bertarikh 15 Mac daripada bahagian Hal Ehwal Pelajar UM, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan beberapa pemimpin mahasiswa yang lain antaranya mantan yang dipertua MPMUM Mohd Syahid Mohd Zaini, Pengerusi Pro-M Nasional Mohd Taufik Abdul dan wakil bekas calon umum Kelvin Tee.

 

Mohd Syahid menegaskan isu penubuhan dan pelantikan anggota badan sementara itu dapat diselesaikan dengan baik jika mahasiswa diajak berbincang.

 

"(Universiti) tidak bincang dengan mahasiswa, jika bincang ia dapat selesai dengan baik," tegasnya.