Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Forum berkaitan pilihan raya yang dibakal dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Univerisiti Islam Antarabangsa (MPMUIA) dibatalkan atas arahan pihak universiti itu.

Forum bertajuk PRU13: Harapan Malaysia yang dijadual berlangsung pada 4 Mac ini dibatalkan disebabkan oleh "hal-hal yang tidak dapat dielakkan".

NONE Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Presiden MPPUIA Muhammad Hamidi Zamri mengesahkan perkara tersebut selepas pihaknya menerima surat pembatalan daripada Dekan Hal Ehwal Pelajar Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman dua hari lalu.

"Kami difahamkan tidak dibenarkan program politik di kampus, sebab nak mengelak mudarat lebih besar... Kami tertanya-tanya sebab (sebenarnya) pembatalannya," katanya.

Muhammad Hamidi juga berkata pihaknya kesal dengan pembatalan program itu, sedangkan mereka telah membuat 80 peratus persediaan termasuk di Dewan Pusat Aktiviti Kebudayaan (CAC).

Panelis forum yang dijemput ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Naib Ketua Pemuda PAS Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan Exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz.

"Semua panelis mengesahkan untuk hadir kecuali Dr Mohd Asri. Tapi tidak mengapa, kita juga ada backup. Panelis juga telah dimaklumkan pembatalan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Hamidi yang juga mahasiswa fakulti ekonomi berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak pengurusan universiti untuk membolehkan program tersebut diteruskan.

ADS