Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan, perdana menteri tidak campur tangan dalam perjalanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk perlantikan anggotanya.

Katanya, pelantikan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan Majlis Raja-raja.

Menurutnya lagi, artikel 40 Perlembagaan Persekutuan juga tidak menyatakan bahawa perdana menteri perlu berperanan dalam perlantikan anggota suruhajaya tersebut.

NONE "Ia (peruntukan itu) tidak menyebut peranan perdana menteri... Semua orang jelas, tiada peranan peranan perdana menteri (mengenai hal itu)... Pada pandangan saya, jelas menyatakan tiada campurtangan perdana menteri... Saya percaya pandangan saya adalah betul," katanya.

Nazri menegaskan berdasarkan pengalamannya selama lapan tahun sebagai menteri yang menjaga berkaitan undang-undang, kerajaan tidak pernah campurtangan dalam perjalanan suruhanjaya tersebut.

"Sebagai menteri, saya mengamalkan supaya tidak campur tangan dalam dalam perjalanan Suruhanjaya Pilihan Raya... Berdasarkan pengalaman sebagai menteri, tidak ada campur tangan dalam perjalanan SPR," katanya yang juga ahli parlimen Padang Rengas.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wujudnya dakwaan campur tangan kerajaan dalam perjalanan dan perlantikan anggota suruhanjaya tersebut, dalam sebuah persidangan antarabangsa mengenai pilihan raya umum ke-13 di Royal Lake Club, di ibu negara pagi ini.

Dalam ucapannya sebelum itul, Nazri juga memberi jaminan bahawa peralihan kuasa berjalan dengan aman kepada parti yang menang sekiranya BN tewas pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita tidak akan membentuk kerajaan dengan menipu atau membuat tindakan yang tidak sesuai.

"Bila kami kalah lima negeri, peralihan kuasa berlaku dan tidak ada percubaan untuk mencetuskan kacau bilau atau tidak memberikan kerajaan negeri pada  pembangkang," katanya.

Beliau yang juga ahli majlis tertinggi Umno menegaskan BN amat menghormati mandat rakyat untuk memilih parti dan kerajaan yang dikehendaki mereka.

ADS