MP bangkit isu penstrukturan fakulti di UM
MP Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali hari ini membangkitkan dakwaan berlakunya penstrukturan semula fakulti-fakulti di Univerisiti Malaya (UM) sehingga menjadi lima fakulti sahaja.
Beliau - yang juga setiausaha Dewan Ulama PAS - berkata penstrukturan itu turut melibatkan fakulti Akademi Pengajian Islam UM yang didakwanya dijadikan taraf "sekolah" dan diletakkan bawah Fakulti Kesenian, Kemanusiaan dan Sains Sosial.
"Bagi saya tindakan seumpama ini memperkecilkan displin pengajian Islam, sedangkan ia adalah agama persekutuan. Apatah lagi Universiti Malaya adalah universiti yang tertua di Malaysia.
"(Universiti) yang melahirkan ramai ulama pelbagai bidang, menjadi pensyarah, hakim, kadi, mufti dan sebagainya. Maka tidak layak pengajian Islam diperkecilkan seumpama itu.
"Dan (saya) bimbang tindakan itu akan diikuti oleh universiti-universiti yang lain," katanya membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Sambil membaca sepotong ayat Al-Quran, Khairuddin berkata sekiranya Allah mahu memberikan kebaikan kepada seseorang itu, maka Allah akan beri kefahaman tentang Islam kepadanya.
"Ertinya rakyat tidak akan menjadi baik, jika tidak diberi ilmu dan kefahaman tentang agama Allah dan tidak sepatutnya (pengajian Islam) diperkecilkan seumpama itu," katanya.
UM mempunyai 14 fakulti termasuk Akademi Pengajian Islam dan Akademi Pengajian Melayu, enam institut dan lima pusat pengajian.

