Pakatan Rakyat mengemukakan usul untuk merujuk MP Simpang Renggam Liang Teck Meng ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen atas kenyataan yang mendakwa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar memiliki wang ratusan juta ringgit di akaun bank luar negara.

MP Jelutong Jeff Ooi memfailkan usul tersebut semalam kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada jam 4 petang semalam, mengikut Perkara 80 dan Perkara 80(a) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, tindakan itu diambil selepas beliau membuat semakan dan mendapati dakwaan Liang ke atas Anwar di Dewan tersebut pada hari Selasa lalu dibuat dengan tidak berasas dan dengan merujuk "sumber palsu".

"Sumber-sumber palsu yang digunakan dalam Dewan bertujuan untuk mengelirukan dan menghina Dewan.

"Sehubungan itu adalah didapati hujah-hujah pokok yang digunakan oleh YB Simpang Renggam adalah lebih berdasarkan tulisan dalam blog tanpa nama yang tidak layak dipercayai dari segi definisi maklumat domain awam," katanya.

Ooi mendakwa semua nombor akaun bank luar negeri yang didakwa dimiliki, seperti disebut oleh Liang, adalah berdasarkan kepada blog tanpa nama tersebut.

"Adalah juga didapati bahawa tiada sebarang pendedahan yang sama mengenai akaun-akaun luar negeri yang dihujahkan oleh YB Simpang Renggam boleh diperolehi dalam portal Wikileaks," katanya.

Oleh yang demikian, beliau mendakwa MP Simpang Renggam itu  melanggar Perkara 36(12) peraturan mesyuarat Dewan.

Peruntukan itu menetapkan bahawa ahli yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan Dewan dianggap menghina majlis dan boleh dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan.