Jurulatih anjing, Maznah Mohd Yusof, yang ditahan reman berhubung kontroversi video hari raya, dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut peguamnya, S Visvanathan Nair, Maznah dibebaskan pada kira-kira jam 12.20 hari ini dengan kakaknya menjadi penjamin.

Ini ekoran permohonan pihak polis di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah, yang berkaitan dengan saksi dan pengadu dalam kes.

"Dia kini berada di lokap ibupejabat polis Segamat untuk mengambil barangannya," katanya ketika dihubungi.

Pegawai penyiasat Othman Mantaha berkata polis tidak akan memohon lanjutan tahanan reman kerana ia mungkin tidak dibenarkan oleh mahkamah.

"Lagi pun (ia) membebankannya," tambah Visvanathan.

Beliau berkata pihaknya memohon dikenakan jaminan polis supaya Maznah boleh dipanggil semula untuk memberi kenyataan lanjut dalam tempoh siasatan.

Katanya, selagi tidak didakwa, Maznah boleh dianggap sebagai suspek atau saksi dalam kes tersebut.

Peguam Latheefa Koya, yang bertindak bagi pihak Maznah di Kuala Lumpur, bagaimanapun berkata ini adalah "prosedur yang salah" kerana Seksyen 118 hanya terpakai kepada pengadu atau saksi dalam sesuatu kes.

NONE

"Dalam kes ini, (Maznah) jelas bukanlah saksi, bukan pengadu,

tetapi berpotensi akan didakwa. Takkan mereka akan mendakwa anjing dan dia (Maznah) jadi saksi," kata Latheefa ketika dihubungi.

Sementara itu, Othman berkata masih terdapat "banyak" yang perlu dilakukan dalam penyiasatan, termasuk "menghantar barang kes untuk pemeriksaan dari segi data".

Ditanya mengenai beberapa laporan yang dibuat terhadap Maznah di seluruh Malaysia, Othman berkata, siasatan polis akan berpusat di Segamat, manakala siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan dilakukan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tambahnya, beliau hanya dimaklumkan mengenai satu laporan polis lain dibuat di Penampang, Sabah.

Maznah, yang tinggal di Bukit Beruntung, Selangor, dibawa ke Segamat pagi semalam kerana laporan polis pertama terhadap beliau dibuat di bandar itu, tetapi peguamnya menganggapnya sebagai satu "penyalahgunaan kuasa".

[Baca berita penuh]