Suaram disiasat atas tuduhan menghasut
NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) disiasat kerana menghasut, dipercayai berkaitan majlis kutipan dananya pada 19 Julai lalu.
NGO itu berkata, polis memaklumkan kepada mereka perkara itu hari ini, selepas meminta maklumat lanjut penganjur acara itu.
"Pengarah eksekutif kami (E Nalini) menghubungi polis dan dalam perbualannya, pegawai polis memaklumkan bahawa Suaram disiasat bawah Akta Hasuta," tulis NGO itu di laman Facebook.
Ketika dihubungi, Nalini ( kanan ) berkata, pegawai polis daripada ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya itu memaklumkan terdapat laporan polis dibuat terhadap mereka.
"Saya tanya kenapa polis mahu maklumat terperinci penganjur? Katanya, sesuatu berlaku semasa majlis makan malam itu. Saya tanya apa yang berlaku, dia enggan jawab," jelas Nalini
Acara makan malam itu dianjurkan bagi mengutip dana untuk kes mahkamah di Perancis, berkaitan kes pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia pada 2002.
Majlis kutipan dana itu mengetengahkan peguam Americk Sidhu, yang mewakili penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Pada majlis itu, Americk bercakap soal pembunuhan warganegara Mongolia Antantuya Shaariibu pada 2006.

