Bukan mudah untuk Umno merobek Sungai Limau, kubu kuat PAS yang diperlahankannya sejak 18 tahun lalu - kesemuanya dimenangi bekas menteri besar Tan Sri Azizan Abdul Razak.

NONEUntuk tujuan itu, akar umbi Umno bahagian itu melihat perlunya calon berpengalaman - sekurang-kurangnya yang pernah menentang allahyarham Azizan (kiri) - untuk menggalas tugas berat itu.

Selaras dengan itu, Malaysiakini difahamkan, dua bekas calonnya antara tersenarai sebagai pilihan bahagian Jerai, iaitu Ketua Bahagian Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Naib Ketua Pemuda Basori Hassan.

Seorang lagi calon yang dikemukakan bahagian Naib Ketua bahagian Datuk Ikmal Ismail.

Manakala calon BN dalam pilihan raya umum lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Mohd Fazillah Mohd Ali yang tewas kepada Azizan dengan majoriti 2,774 disebut-sebut tidak lagi menjadi pilihan bahagian.

Jerai Umno chief Mohd Suhaimi AbdullahMohd Suhaimi pernah berdepan dengan Azizan di kubu kuat PAS itu pada pilihan raya umum 2004 tetapi tewas dengan majoriti 1,080 undi, manakala Basori pada 2008 turut tumbang dengan majoriti 3,212 undi.

Di atas kertas, Mohd Suhaimi dilihat paling berpotensi menentang calon PAS, yang pastinya bukan lagi seperti tokoh heavyweight parti Islam itu yang meninggal dunia baru-baru ini.

Sumber Umno bahagian memberitahu, bagi mengelakkan perpecahan memandangkan pemilihan parti semakin hampir, bahagian itu dijangka menyerahkan kepada kepimpinan Umno negeri untuk memilih calon terbaik.

"Setakat ini Umno negeri masih belum memohon senarai calon daripada kita. Mungkin Umno negeri mahu mendapatkan laporan daripada sumber yang lain terlebih dahulu..." katanya kepada Malaysiakini kelmarin.

Dalam mesyuarat khas Umno Kedah sebelum ini, Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir berkata akan menyenaraikan tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih.

PAS import calon DUN bersebelahan?

Sementara itu, di pihak PAS pula, seorang bekas calon dalam pilihan raya umum lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) bersebelahan Musodak Ahmad turut disenarai untuk mempertahankan kerusi itu.

Sumber-sumber yang dekat PAS kawasan Jerai berkata, selain Musodak - bekas calon Guar Cempedak - disebut-sebut bersama Naib Yang Dipertua PAS Jerai Ismail Ahmad dan ahli jawatankuasanya Nasir Othman.

Pada pilihan raya umum lalu, Musodak tewas dengan calon Umno Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dengan majoriti 2,298 undi.

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mahfuz Omar sebelum ini berkata, mereka akan bergantung kepada senarai kawasan sebelum dinilai oleh PAS negeri dan Pusat.