Cadangan hukuman kes bendera ditarik balik?
Kerajaan nampaknya telah menarik balik dua cadangan pindaan kontroversi ke atas Kanun Keseksaan berhubung perbuatan menghina bendera Jalur Gemilang dan juga perbuatan vandalisme.
MP Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin berkata, naskhah rang undang-undang pindaan tersebut diletak di atas meja para ahli dewan di Dewan Rakyat pagi ini.
“Saya membandingkannya dengan rang undang-undang yang dibentangkan sebelum ini dan mendapati dua perbezaan ini,” katanya kepada Malaysiakini.
Klausa 5 dalam rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua semalam antara lainnya menggariskan hukuman penjara mandatori 15 tahun dan denda untuk kesalahan memijak Jalur Gemilang atau apa-apa bendera negara lain dengan niat untuk menghina.
Klausa 55 pula menyatakan bahawa individu yang mengambil bahagian dalam perbuatan vandalisme, termasuk memasang kain rentang dan poster haram, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Para MP dari kedua-dua kem membantah pindaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan “tidak wajar” dan “kejam”.
Datuk Seri Azalina Othman (BN-Pengerang) and Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) mengambil pendirian yang senada dengan MP Pakatan dan menggesa agar keseluruhan rang undang-undang tersebut ditarik balik.
Shamsul Iskandar berkata MP Pakatan akan terus menentang sebarang cadangan pindaan ke atas Kanun Keseksaan.
Ia termasuk cadangan untuk mengenakan hukuman ke atas penjawat awam yang mendedahkan kepada umum maklumat yang diterimanya semasa menjalankan tugas.

