Mat Sabu bersyukur dipilih semula timbalan presiden
Mohamad Sabu bersyukur kerana dapat mempertahankan jawatan yang disandangnya dua tahun lalu, dan menyifatkan persaingan beliau dengan pencabarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebagai adalah pertandingan persahabatan.
"Alhamdulillah diisytiharkan menang tadi. Ini adalah pertandingan persahabatan.
"Bagi kita (ini) pertandingan biasa yang sihat dan semuanya dalam satu parti," katanya dalam satu sidang akhbar.
Mohamad berkata tugas bersama dengan presiden akan beliau teruskan bersama dengan rakan-rakan yang lain - naib presiden dan ahli jawatankuasa pusat yang dipilih.
"Biasalah, urusan akan diteruskan. Pakatan Rakyat akan diperkuatkan seperti yang disebut dalam usul-usul tadi.
"Maka kita berharap pasukan ini akan membawa PAS lebih cemerlang, Pakatan Rakyat yang lebih cemerlang untuk kita mengganti kuasa politik di Malaysia ini," katanya.
Mohamad berjaya menambah 168 undi dalam pemilihan kali ini.
Seramai 1,086 daripada 1,129 perwakilan berdaftar mengundi semalam. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan undi rosak dicatatkan.
Dalam pemilihan 2011, Mohamad mendapat 420 undi, manakala kali ini 'ayam sabung' PAS itu mendapat 588 undi.

