Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan perwakilan supaya tidak berada dalam zon selesa sebaliknya kembali merapatkan saf dan memperbanyakkan program bersama Wanita BN selepas pulang daripada persidangan hari ini.

"Perjuangan kita (Wanita Umno) untuk semua Wanita di Malaysia. Perjuangan kita merentasi semua kaum dan agama.

"Walaupun kita ada (memperjuangkan) agenda ekonomi bumiputera, tapi perjuangan kita adalah untuk semua," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Wanita Umno.

Dalam ucapannya juga, beliau mengajak akar umbi Wanita untuk membina kekuatan dalaman dan "tidak takut dengan bayang-bayang sendiri".

Menurutnya lagi, beliau mahu Wanita Umno tidak takut dengan pemimpin muda yang lebih pandai daripada mereka sebaliknya lebih kerap berdampingan dengan mereka untuk memperbaiki diri.

"Orang muda hormat kepada orang tuan dan kita sayang kepada orang muda.

"Jangan takut dengan mereka yang lebih pandai daripada kita. Kita mesti sentiasa berdampingan dengan semua yang baik.

"Kalau kita dikelilingi orang yang kurang pandai daripada kita, macam mana kita nak memperbaiki (diri kita).

"Kita sentiasa mengelilingi orang yang lebih bijak supaya kita juga menjadi hebat," katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan, seorang perwakilan Perhimpunan Agung Wanita Umno hari ini mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah makmal khusus untuk wanita bagi memperkasa kaum hawa dalam sektor ekonomi menerusi inovasi dan kreativiti.

   

Ketika membentangkan usul ekonomi dalam perhimpunan itu, Ketua Wanita Umno Kampar, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata makmal itu boleh diterajui oleh Akademi Inovasi Wanita yang akan ditubuh di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

   

Dapatan kajian makmal ini penting untuk mengenal pasti bilangan wanita yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan termasuk pencapaian golongan itu, katanya.

Sementara itu penyokong usul, Ketua Wanita Umno Sungai Petani, Wan Mohalina Wan Mohamad pula meminta kerajaan membina Bank Wanita yang memfokuskan kepada pembangunan ekonomi wanita.

   

Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi Bank Wanita di India yang mempunyai 500 cawangan dan membantu bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga pelan perniagaan.

   

"Saya sudah tidak mahu wanita hanya berniaga di lokasi kecil dan pasar malam sahaja, wanita juga harus diberi kemudahan pinjaman untuk memiliki premis perniagaan di kawasan berpotensi," katanya.

   

Sementara itu, Wanita Umno disaran mewujudkan 'Skuad Ta'lim', khusus bagi menepis dakwaan pihak tertentu terutama pembangkang yang menuduh Umno tidak memperjuangkan Islam.

   

Ketua Wanita Umno Kubang Kerian Datuk Zaleha Husin turut menggesa penubuhan skuad itu disegerakan kerana sudah terlalu lama Umno ditohmah sedemikian rupa.

   

"Umno adalah parti yang banyak melahirkan produk Islam. Umno menghapuskan riba dengan mewujudkan perbankan Islam di negara ini, mempelopori pajak gadai berdasarkan syariat Islam dan menubuhkan pelbagai institusi pengajian tinggi mengutamakan Islam.

   

"Jika Wanita boleh menubuhkan Skuad Sayang, apa salahnya jika kita tubuhkan skuad Ta'lim. Ramai anak muda lulusan agama termasuk dari universiti ternama Mesir yang boleh kita dekati dan latih untuk bersama dengan Umno," katanya ketika menyokong usul pendidikan, agama dan sosial di perhimpunan agung sayap itu hari ini.

   

Terdahulu Ketua Wanita Umno Permatang Pauh Rosni Salleh ketika mengemukakan usul itu mencadangkan Umno menyediakan tabung untuk membiayai pendidikan

anak-anak warga Umno dari peringkat rendah hingga ke institusi pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan Umno yang berilmu dan berbudaya intelek.

   

"Kementerian Pendidikan juga diminta untuk mengkaji semula sukatan pelajaran dari peringkat awal hingga peringkat pengajian tinggi, seiring dengan arus semasa untuk menyediakan modal insan yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis, kreatif dan mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya menyumbang kepada pembangunan modal sosial dan ekonomi negara," katanya.